Selasa, 30 Oktober 2012

MENULIS PROPOSAL PENYELIDIKAN

1. MAKSUD PROPOSAL PENYELIDIKAN
“A research proposal provides a preview of why a study will be undertaken and how it will be conducted. A research project is often required to get permission or necessary resources. Even when not required, a proposal is a useful device for planning.” 
(Earl Babbie, The Basics of Social Research 2002: 110)

Tujuan utama penyediaan proposal:
Sebagai panduan dalam menjalankan penyelidikan bermula daripada mengenalpasti permasalahan kajian, menetapkan objektif yang ingin dicapai, pembentukan metodologi, pengumpulan data dan penganalisaan data serta sebagai kontrak antara penyelidik dengan agensi atau instusi yang mengarahkan menjalankan penyelidikan. Pemantauan perjalanan penyelidikan, tahap perlaksanaan dan bajet dilakukan berdasarkan proposal yang dipersetujui. Sebelum menulis proposal perkara paling asas yang perlu dimiliki oleh seorang penyelidik ialah maklumat-maklumat awal permasalahan penyelidikannya yang diperolehi melalui kajian literatur.

2. KANDUNGAN PROPOSAL PENYELIDIKAN
Sebuah proposal penyelidikan yang baik seharusnya mengandungi komponen-komponen berikut mengikut kesesuaian atau nature penyelidikan: 
Tajuk Kajian,
Latarbelakang &; 
Permasalahan Kajian, 
Matlamat Kajian, 
Objektif Kajian, 
Defenisi Operasi Kajian, 
Skop Kajian, 
Kerangka Teori, 
Metodologi Kajian, 
Literature Review, 
Carta Kajian, Rangka/Cadangan Laporan,
 Rujukan, 
Bajet &; 
Lampiran.

3. TAJUK KAJIAN
Kajian dijalankan berdasarkan kepada tajuk yang diterokai daripada permasalahan yang ditemui. Tajuk kajian hendaklah menarik, tepat, bersifat deskriptif, ada nilai pasaran (marketable), berfaedah kepada instusi atau masyarakat. Dengan itu sewajarnya tajuk kajian memenuhi prinsip: “An informative but catchy title. An effective title not only pricks the reader's interest, but also predisposes him/her favourably towards the proposal”. Dalam menulis tajuk, perkataan seperti ‘kajian atau penyelidikan’ tidak perlu ditulis kerana sudah maklum proposal berkenaan adalah berkaitan penyelidikan atau kajian. Sebagai contoh: penyelidik tidak perlu menulis: ‘(Kajian) Keberkesanan Dakwah di Kalangan Masyarakat Orang Asli’.

4. PERMASALAHAN KAJIAN
Permasalahan Kajian adalah isu utama yang akan diterokai dan dirungkai dalam sesebuah penyelidikan. Ia seharusnya sesuatu yang baru, menarik dan menampakkan keperluan untuk dikaji. permasalahan dijumpai melalui pembacaan, perbincangan dan pengalaman.

5. MATLAMAT KAJIAN
Matlamat kajian adalah satu matlamat umum yangg ingin dicapai dalam sesebuah penyelidikan. Kebiasaannya ia ditulis berdasarkan kepada tajuk supaya dapat memberikan gambaran objektif umum yang dicapai oleh penyelidik. Ia dinyatakan dalam satu perenggan yang ringkas menggunakan satu ayat atau gabungan dua ayat. Sebagai contoh tajuk kajian: ‘Kefahaman & penerimaan non-Muslim terhadap Islam hadhari di Malaysia: kajian kes Lembah Klang’ ditulis dalam bentuk matlamat kajian dengan: Kajian ini bertujuan mengkaji tahap kefahaman dan penerimaan golongan non Muslim Lembah Klang terhadap konsep Islam hadhari.

6. OBJEKTIF KAJIAN
Dimaksudkan dengan Objektif Kajian ialah matlamat khusus yang hendak dicapai daripada penyelidikan. Objektif yang dirangka seharusnya mengambil kira tiga faktor:
(i) kemampuan dan kepakaran penyelidik,
(ii) kos pengendalian penyelidikan, dan
(iii) jangkamasa penyelidikan.

Penyelidik hendaklah bersikap realistik dalam merancang objektif kajiannya kerana berjaya atau gagalnya sesebuah penyelidikan diukur berdasarkan pencapaian objektif yang dirangka. Dengan demikian konsep SMART iaitu: Specific, Measurable, Achievable and action-oriented, Realistic, Time defined hendaklah diberi keutamaan semasa merangka objektif kajian.
Kebiasaannya objektif kajian dirangka berdasarkan terminologi berikut yang menggambarkan metod dan hasrat penyelidik:
Mengenalpasti . . .
Mencari hubungan . . .
Mengukur . . .
Mengkaji . . .
Menjelaskan . . .
Menganalisis . . .
Menilai . . .
Membandingkan . . .
Menentukan . . .
Membuktikan . . .
Menunjukkan . . .
Menghuraikan . . .
Merangka cadangan . . .
Mencadangkan . . .

7. DEFINISI OPERASI KAJIAN
Terminologi-terminologi yang signifikan kepada kajian perlu dijelaskan bagi memberikan gambaran yang jelas kepada pembaca atau penilai proposal ataupun bertujuan mengelak daripada disalah tafsir. Defenisi tidak perlu dirujuk kepada mana-mana kamus tetapi berdasarkan kepada operasi kajian yang berlaku. Dengan itu perkara yang remeh temeh dan tidak berkaitan dengan konteks kajian tidak perlu didefinisikan.

8. SKOP KAJIAN
Sebuah kajian yang baik hendaklah bersifat spesifik kepada skop permasalahan tertentu. Bagi mengelak kajian bersifat umum dan sukar dicapai, maka perkara-perkara berikut perlu dibataskan iaitu:
i. Lokasi kajian terutama yang melibatkan kajian kes. Sebagai contoh fokus kajian kepada kawasan Lembah Klang bagi mengeluarkan lokasi lain yang tidak terlibat;
ii. Kumpulan sasar populasi atau responden terpilih. Contohnya, skop kajian tertumpu kepada pegawai agama, masyarakat FELDA atau kalangan non-Muslim; Masa atau tempoh kajian. Sebagai contoh kajian dari bulan Jun hingga September 2008 sahaja, dan;
iii. Subjek atau permasalahan kajian. Sebagai contoh kajian ditumpukan kepada isu penerimaan fatwa kalangan orang awam terhadap keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan.

9. KERANGKA TEORI
Akan dihuraikan dalam bahagian lain.

10. METOD KAJIAN
Metod atau kaedah kajian adalah jantung kepada sesebuah penyelidikan. Perkara ini perlu dijelaskan dengan sebaik mungkin kerana kegagalan menyediakan metod yang baik menyebabkan kegagalan pengumpulan dan penganalisaan data yang baik dan pencapaian objektif kajian. Dengan itu: The methods or procedures section is really the heart of the research proposal. The activities should be described with as much detail as possible, and the continuity between them should be apparent” (Wiersma 1995, 409). Dalam penulisan metod kajian beberapa perkara penting perlu dinyatakan seperti: Instrumen Kajian, Persampelan dan Analisis Data.

10.1 Instrumen Kajian
Terdapat pelbagai instrumen atau alat digunakan untuk memunggut data bergantung kepada kesesuaian atau nature kajian. Instrumen-instrumen tersebut seperti borang soalselidik (questionnaire), pemerhatian (observasi), temubual atau analisis dokumen. Sebagai contoh, kajian mengenai gejala sumbang mahram di kalangan masyarakat Islam mungkin menggunakan instrumen temubual dan soalselidik sahaja, sebaliknya kajian mengenai ajaran sesat menggabungkan instrumen pemerhatian, analisis dokumen dan temubual.

Soalselidik
Soalselidik hendaklah dirangka berdasarkan objektif kajian. Beberapa prinsip berikut perlu diutamakan semasa merangka soalselidik:
(i) KISS (Keep it Short and Simple) –Setiap soalan dalam soalselidik sewajarnya ditulis secara ringkas mengandungi tidak lebih daripada dua ayat bagi mengelak keraguan dan kesamaran kepada responden;
(ii) Memfokuskan satu subjek atau satu isu bagi satu soalan.
(iii) Bertanya soalan dengan tepat. Jumlah, waktu, lokasi, kadar, angka perlu dinyatakan dengan jelas bagi mengelak kekeliruan kepada responden. Contohnya soalan: “Berapa kerapkah anda bersolat jamaah?” ditukar kepada: “Berapa kerapkah anda bersolat jamaah seminggu?”.
(iv) Soalan sepatutnya dibina dalam bentuk positif. Bukannya secara negatif seperti: “Pengajaran al-Quran secara berkumpulan tidak sepatutnya dihapuskan” ditukar “Pengajaran al-Quran secara berkumpulan patut diteruskan”. Soalselidik dibina dengan menggunakan Font Arial 11, menarik (sama ada aspek kualiti kertas, design dan disusun secara struktur vertical), maksimun 10 halaman (125 soalan atau masa dijangka tidak melebihi 30 minit untuk responden menjawab) berserta dengan surat lampiran yang mengandungi maklumat agensi, tajuk kajian, pengenalan diri, objektif, permohonan kerjasama daripada responden, janji menyimpan rahsia dan ucapan terima kasih kepada responden. Janji menyimpan rahsia dan ucapan terima kasih hendaklah dinyatakan kali kedua selepas soalan terakhir.
Bagi soalselidik yang menggunakan pendekatan pos responden, sampul surat bersetem berserta alamat peneylidik hendaklah disertakan.

Pemerhatian
Pemerhatian dilakukan ke atas tingkah laku, objek atau peristiwa. Ia dijalankan bagi mendapat gambaran sebenar atau secara langsung ke atas perkara-perkara tersebut. Beberapa persediaan awal perlu dilakukan sebelum pemerhatian sebenar dilakukan antaranya:
(i) Mengenalpasti sejauh mana keperluan pemerhatian dalam penyelidikan;
(ii) Memastikan lokasi atau objek pemerhatian;
(iii) Persiapan instrumen pemerhatian;
(iv) Pemilihan teknik pemerhatian terbaik;
(v) Menjangka kekurangan atau kelemahan bakal dihadapi semasa pemerhatian, dan;
(vi) Bersedia membentuk kerangka laporan berasaskan pemerhatian. 

Dalam pemerhatian, penyelidik seharusnya mengelak daripada berlakunya bias kerana tafsiran sendiri dan keduanya mengelak daripada fenomena Hawthorne Effect iaitu perubahan tingkahlaku seseorang atau kumpulan yang diperhati tidak natural kerana mereka sedar diperhatikan. Pemerhatian boleh direkodkan melalui:
(i) mekanikal seperti kamera;
(ii) chekcklist atau senarai perubahan objek,
(iii) skala rating seperti Skala Likert,
(iv) penjadualan bagi merekod perkembangan pemerhatian, serta;
(v) one way screen di mana pemerhati sahaja yang melihat yang diperhati.

Bentuk Pemerhatian
Tiga bentuk pemerhatian boleh digunakan dalam penyelidikan: 
(i) Pemerhatian tanpa penyertaan tanpa kawalan. Dalam hal ini penyelidik bertindak sebagai orang luar memerhati dari jauh seperti meninjau sesuatu lokasi kajian dalam tempoh yang singkat. 
(ii) Pemerhatian dengan penyertaan tanpa kawalan, iaitu penyelidik menyertai kumpulan yang diperhati tanpa disedari kehadirannya. Sebagai contoh, penyelidik menyertai masyarakat Orang Asli bagi meneliti sikap kegamaan mereka, dan; 
(iii) Observasi dengan kawalan, iaitu pemerhatian dilakukan secara satu hala. Ini boleh dilakukan dengan memerhatikan tingkah laku kanak-kanak dalam sebuah kelas tanpa disedari mereka.

Temubual
Temubual dilakukan bagi mendapatkan maklumat secara langsung dan lebih mendalam mengenai sesuatu isu dalam penyelidikan. Ia dilakukan dengan mereka yang sangat signifikan dengan kajian. Dua bentuk temubual yang terlibat sama ada: 
(i) Temubual Berstruktur –yang dilakukan dengan soalan-soalan yang telah dirangka dengan ramalan-ramalan jawapan yang mungkin diberikan oleh responden. 
(ii) Temubual tidak Berstruktur –yang dilakukan dengan bentuk soalan yang bebas dan responden tidak dipandu dalam memberikan respon.

Bagi memastikan temubual betul-betul memberikan input yang baik, penemubual hendaklah:
(i) memilih setting temubual sama ada dari aspek masa atau lokasi yang sesuai;
(ii) membawa penampilan diri dengan baik serta demeanor, iaitu kehadirannya dapat diterima secara natural oleh responden;
(iiii) Kemahiran melakukan acahan (probing) bagi mendapat maklumat atau keyakinan yang lebih dari responden terhadap respon yang diberikan. 

Tiga pendekatan temubual boleh dilakukan iaitu: 
(i) temubual bersemuka; 
(ii) temubual melalui telefon; atau 
(iii) perbincangan secara berkumpulan (focus group discussion) yang terdiri daripada 8-10 peserta.

Analisis Dokumen
Dokumen ditulis dalam pelbagai bentuk termasuk buku, rekod, nota, kitab dan sebagainya. Analisis terhadap bahan dokumen adalah perkara asas dalam menjalankan penyelidikan. Ia amat perlu dilakukan sama ada pada tahap mengenalpasti tajuk penyelidikan, permasalahan, metodologi dan sebagainya. Beberapa pendekatan perlu dilakukan semasa menganalisis dokumen: 
a. Meneliti isi kandungan sama ada ia menepati fakta, bersifat logik, mengandungi isi meragukan dan sebagainya;
b. Menilai hujah dan kesahihan fakta dalam dokumen. Termasuk taraf hadis, ketepatan tafsiran al-Quran dan sumber rujukan;
c. Membuat perbandingan antara beberapa dokumen, sumber rujukan dalam dokumen dan perbandingan karya penulis dokumen dengan penulis lain. Perbandingan dilakukan dalam dua aspek sama ada persamaan atau perbezaan, dan;
d. Kritikan positif terhadap kekuatan atau kelemahan kandungan komen.
e. membuat rumusan dan kesimpulan.

Persampelan
Persampelan adalah satu teknik atau prosedur pemilihan sampel daripada sekumpulan populasi (sekumpulan pelajar, pegawai agama, guru). Aspek persampelan penting dalam penyelidikan bagi memastikan kesimpulan yang dibuat daripada sampel benar-benar mewakili pandangan atau persepsi sejumlah populasi. Berdasarkan kepada kesesuaian dan kemudahan mendapatkan sampel, penyelidik boleh memilih sama ada:
(i) persampelan tanpa rawak (non probability sampling) seperti persampelan mudah, purposive, bola salji dan kuota atau;
(ii) persampelan berawak (probabiliti sampling) seperti persampelan rawak mudah, rawak sistematik, rawak berlapis atau rawak berkelompok. 
Di samping itu, jumlah sampel yang dipilih dengan nisbah jumlah populasi juga perlu dinyatakan dengan jelas.

11. LITERATURE REVIEW
Sorotan ringkas (literature review) terhadap tulisan termasuk buku dan jurnal atau laporan kajian dalam bidang berkaitan penting bagi mendapat idea, metodologi yang sesuai, atau mengenalpasti kelemahan dan kekuatan penyelidikan-penyelidikan sebelumnya. Literature review atau kajian literatur juga memberi gambaran tahap pengetahuan penyelidik dalam penyelidikan yang bakal dilakukannya. Antara langkah yang perlu dilakukan dalam literature review: 
a. Membuat penilaian secara kritis terhadap literatur bidang kajian yang hampir sama (niche area). Hasil kajian atau penulisan terdahulu menjadi wahana dalam menghasilkan kajian terbaik setelah didapati kelemahan-kelemahan; 
b. Memastikan taraf dan bentuk penyelidikan sebelumnya. Kemungkinan penyelidikan sebelumnya hanya bersifat lokaliti tertentu boleh diperluaskan ke dalam wilayah yang lebih besar. Atau berkemungkinan penyelidikan sebelumnya mengabaikan aspek metod tertentu sepert hanya mementingkan pemerhatian hingga mengabaikan metod temubual;
c. Meringkaskan literatur yang direview dan disusun dari lama kepada baru serta dari umum kepada khusus, dan;
d. Berdasarkan kekuatan dan kelemahan kajian terdahulu, pada akhir review, nyatakan rasional kajian seterusnya patut dilakukan. Aspek ini akan memperlihatkan kekuatan, kepentingan dan kehebatan kajian yang sedang dirancang semestinya dilakukan. 

Beberapa persoalan-persoalan boleh ditimbulkan semasa menreview literatur bagi menghasilkan sebuah literature review yang baik: 
Apakah isu utama?
Apakah pandangan politik?
Apakah asas dan definisi kepada tajuk?
Apakah masalah dan persoalan yang ditimbulkan hingga kini?
Bagaimana maklumat disusun dan dibina?
Apakah asas epestimologi kepada isu?
Apakah kunci utama teori, konsep dan idea?
Apakah sumber utama?
Kajian Literature Review terhadap Tajuk Kajian

12. CARTA KERJA KAJIAN
Masa yang realistik adalah penting bagi mereka yang baru menjalankan penyelidikan, mereka yang telah berpengalaman atau penyelidik yang terikat dengan kontrak dan geran penyelidikan dengan sesebuah isntitusi. Dalam hal ini, carta kajian dinyatakan dalam dua bentuk iaitu:
(i). Carta Alir (Flow Chart).
Carta yang menjelaskan aliran kerja penyelidikan dari awal hingga akhir termasuk daripada kajian literatur, pembentukan hipotesis dan pengujiannya, pengumpulan data, kerja-kerja di lapangan seperti pengedaran soalselidik, temubual, pemerhatian, penganalisaan data sehinggalah kepada aktiviti penyerahan laporan penyelidikan. 
(ii) Carta Gantt.
Tujuan utama Carta Gantt adalah untuk merancang penyelidikan dan mengelak berlakunya pengulangan operasi penyelidikan. Berikut langkah membentuk Carta Gantt: 
a. Nyatakan langkah atau aktiviti akan dijalankan dinyatakan sebelah kiri; 
b. Masa yang dijangka yang bakal diliputi dalam kajian dicatat pada sebelah atas; 
c. Graf bar disusun bagi menggambarkan titik permulaan dan titik akhir setiap aktiviti.

Diambil daripada blog :