Noriah Bt. Mohd Ali : Tokoh yang dilahirkan pada 19 Oktober 1934 di Kg Pasir Durian dan ibu bapanya juga adalah anak jati di kampung ini. Daripada 6 orang adik beradiknya, hanya tokoh dan adik perempuannya yang masih hidup. Semasa usia kanak-kanaknya, tokoh tidak pernah bersekolah dan hanya memperolehi pendidikan agama secara informal di samping membantu ibubapanya di rumah.
Tokoh yang berkahwin ketika berusia 21 tahun telah mewarisi kemahiran pembuatan tembikar ini daripada ibu mertuanya, Pn. Sepian bt. Mat Amin. Hasil perkahwinannya, tokoh dikurniakan tujuh orang anak iaitu empat orang lelaki dan tiga orang perempuan. Kini, kesemua anaknya menetap di sekitar negeri Pahang dan tokoh tinggal bersendirian di rumahnya.
Keistimewaan produk kraf tembikar Tembeling ialah keunikan tanah liatnya yang halus. Di Kg. Pasir Durian ini terdapat sekeping tanah seluas enam ekar yang mengandungi tanah liat yang paling sesuai untuk pembuatan tembikar. Pada tahun 1919, tanah ini telah direzabkan dengan nama ’Tanah Miskin’ untuk dimanfaatkan oleh golongan yang berkenaan. Sebelum boleh digunakan, tanah tersebut perlu direndam dan ditumbuk untuk memastikan kualititinya dan bebas dari batu, pasir serta kayu.
Proses pembuatan tembikar ini bermula dengan tanah dibentukkan dengan tangan bermula dengan tapak, dinding dan seterusnya bibir tembikar di atas gadang yang berfungsi sebagai alat pemutar. Kemudian, permukaan tembikar dihiasi dengan corak-corak dari acuan yang menjadi identiti utama tembikar Tembeling. Setelah siap, tembikar ini akan dijemur sehingga kering. Akhir sekali, tembikar ini akan dibakar dalam dapur yang dibuat daripada batu bata selama beberapa jam.
Terdapat pelbagai motif corak yang digunakan pada permukaan tembikar seperti bunga sambar, tampok manggis, tapak pelanduk, tapak itik, pucuk rebung, bunga kelopak, belalang cucuk, bunga pecah empat dan bunga kipas. Acuan motif ini dibuat sendiri oleh tokoh dengan menggunakan kayu yang keras. Peralatan-peralatan lain yang digunakan ialah batu untuk mengilatkan permukaan serta bilah kayu ukir untuk membuat corak silang.
Kerana minat yang mendalam, tokoh meluangkan komitmen sepenuhnya kepada bidang pembuatan tembikar ini. Setiap hari, tokoh akan meluangkan masa dari pagi hingga tengahari dan juga selepas zohor hingga ke petang. Produk tembikar yang dihasilkan oleh tokoh terdapat dalam pelbagai saiz dan pelbagai jenis produk tembikar seperti terenang, belanga, pasu, bekas buah dan pelbagai bentuk lama dan baru mengikut permintaan pelanggan. Produk-produk ini boleh digunakan untuk memasak, menyimpan air, perhiasan dan perubatan tradisional.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan