Khamis, 8 November 2012

ASAS PENYELIDIKAN

PENGENALAN ASAS PENYELIDIKAN
1.0 Pengenalan
Setiap orang sarjana mentakrifkan istilah ‘penyelidikan’ mengikut pengertiannya tersendiri. Misalnya, ‘tatacara yang teratur yang digunakan oleh manusia untuk menambahkan ilmu pengetahuan baru, dan berbeza sekali dengan penemuan ilmu secara kebetulan atau spontan. Penyelidikan dilakukan mengikut langkah-langkah tertentu yang diatur khas untuk mengeluarkan maklumat baru’.
(Ahmad Mahzan Ayob, 1983)
‘Penyelidikan bertujuan mendapatkan kebenaran yang mempunyai logik mengenai sesuatu fenomena, tetapi ia tidak bererti bahawa kebenaran yang didapati itu merupakan kebenaran yang muktamad mengenai fenomena itu. Fakta-fakta baru atau fakta-fakta yang tidak didapati semasa penyelidikan dijalankan mungkin akan timbul dan ini akan mengubah keputusan penyelidikan dan dengan itu pengetahuan akan sentiasa berubah’.
(Mohd. Sheffie Abu Bakar, 1987)
‘…usaha mencari data yang akan dipergunakan untuk menguji sesuatu hipotesis, untuk memecahkan sesuatu persoalan tertentu, atau hanya sekadar ingin mengetahui samada wujudnya ataupun tidak sesuatu persoalan itu’.
(J. Supranto, 1986)


‘In carrying out research the purpose is to try to make some claim to knowledge; to try to show something that was not known before. However small, however modest the hoped for claim to knowledge is, provided it is carried out systematically, critically and self-critically, the search for knowledge is research’.
(Bassey, 1990)
‘Dari segi sejarah perkembangan penyelidikan, jelas membuktikan kajiselidik adalah satu langkah sistematik yang mengkaji perhubungan di antara pembolehubah. Langkah sistematik ini merupakan elemen yang terpenting didalam konsep asas penyelidikan. Seseorang mungkin melakukan sesuatu kajian ataupun pemerhatian, tetapi tindakan tersebut tidak akan membawa sebarang makna yang berkesan sekiranya proses langkah sistematik diabaikan’.
(Dr. Asaruddin Hj Ashaari, 1989)
Penyelidikan ialah satu kaedah yang tersusun, sistematik atau teratur dan bersifat objektif, bukan subjektif dan bebas dari pertimbangan nilai. Dengan lain perkataan, penyelidikan yang bersandarkan kepada pertimbangan fakta dan logik pemikiran manusia. Logik pemikiran manusia tentulah berdasarkan apa yang ditanggap oleh pancaindera manusia.

‘Pada amnya, kita dapat merumuskan penyelidikan sebagai satu tatacara teratur yang hasilnya membolehkan penambahan ilmu pengetahuan. Penyelidikan dilakukan mengikut langkah-langkah tertentu, khas bagi mendapatkan maklumat serta menjawab persoalan yang dibangkitkan.
(Syed Arabi Idid,1993)

2.0 Langkah-langkah Penyelidikan

2.1 Penyataan Masalah
Setiap kajian dimulakan dengan mengenalpasti masalah. Permasalahan merupakan istilah yang digunakan untuk merujuk kepada perkara kajian yang kita akan lakukan. Kehidupan sosial memang dipenuhi oleh berbagai-bagai perkara yang boleh dijadikan topik kajian. Dalam bidang pendidikan umpamanya, guru-guru berhadapan dengan bermacam-macam permasalahan yang melibatkan murid-murid.
Penyelidik misalannya boleh mengemukakan kajian untuk mengetahui punca-punca masalah pembelajaran murid, meninjau pandangan murid mengenai kemudahan-kemudahan di sekolah, membandingkan pencapaian berasaskan latarbelakang keluarga murid-murid, melihat persepsi hubungan murid-murid dan sebagainya. Sebagai seorang yang berminat dalam sosiologi, kita akan melihat sesuatu masalah berdasarkan pemikiran yang sosiologikal. Contohnya dalam konteks modenisasi, kita melihat pelbagai bentuk pengaruh pemodenan telah mengubah murid-murid dari pemikiran dan tingkah laku. Antara perubahan-perubahan adalah seperti cara berpakaian, cara bertutur, cara berhubung, cara datang ke sekolah dan sebagainya. Dalam melaksanakan kajian, kita tidak dapat mengkaji dan menyelesaikan banyak masalah dalam satu penyelidikan.Oleh itu adalah kebiasaan setiap penyelidikan memfokuskan kajian kepada suatu penyataan masalah yang khusus.
Sebagai satu contoh penyelidikan mengenai kesan pemodenan ialah mengenai sekularisme. Penyelidikan mungkin ingin melihat bagaimana sekularisasi telah mengubah fikiran dan gaya hidup masyarakat Malaysia. Untuk melakukan penyelidikan di seluruh negara adalah sukar. Jadi kita mengecilkan skop kajian ke sebuah sekolah.
Di sekolah pula, untuk mengkaji kesan sekularisasi terhadap seluruh komuniti barangkali akan menghadapi masalah pengumpulan data. Justeru kita akan mengecilkan lagi skop kajian di kalangan murid-murid. Bilangan murid yang terlalu ramai pula menghadapi rintangan komunikasi dan kekangan masa. Jadi sebagai seorang yang baru hendak mula menyelidik kita akan menumpukan perhatian kepada murid-murid dalam satu bilik darjah sahaja. Dari segi perincian kajian kita perlu pula menetapkan aspek sekularisasi yang bagaimanakah perlu diketengahkan. Adakah kita melihat dari segi perubahan fizikal ataupun pemikiran. Misalnya, jika kita melihat kesan terhadap pandangan agama, kita mungkin akan mengemukakan masalah sejauh mana sekularisasi telah melemahkan amalan keagamaan murid-murid. Penyataan masalah boleh jadi masih lagi kabur kerana pada peringkat ini kita mungkin melihat wujud sekularisme tetapi belum mengenalpasti apakah sebenarnya sekularisme itu. Ringkasnya permasalahan yang dipilih perlu ditakrifkan. Oleh itu kita perlu membuat tinjauan melalui bahan-bahan bacaan yang berkaitan sekularisme.

2.2 Membuat Rujukan Bahan
Pengetahuan asas berkenaan perkara yang dikaji perlu sebelum melaksanakan kajian. Penyataan masalah tidak sempurna, tidak lengkap dan kabur tanpa membuat rujukan. Rujukan bahan atau sorotan literatur merupakan aktiviti-aktiviti mencari maklumat berkaitan perkara yang dikaji berdasarkan bahan-bahan sedia ada. Rujukan bahan boleh didapati daripada tulisan-tulisan, gambar-gambar, filem-filem, dan lain-lain bahan yang berkenaan. Sekiranya kajian kita mengenai sekularisme, kita mesti benar-benar faham sekularisasi. Untuk itu kita perlu ke perpustakaan mencari bahan-bahan mengenainya. Kemudian kita akan mencari hasil-hasil kajian atau tulisan-tulisan yang sedia ada mengenai kesan sekularisasi terhadap masyarakat. Berdasarkan rujukan, pemahaman kita dalam menyatakan permasalahan kajian akan menjadi lengkap dan dapat dipertahankan. Seterusnya rujukan awal akan membantu kita untuk merangka hipotesis.

2.3 Mengemukakan Hipotesis
Hipotesis merupakan andaian-andaian penyelidik terhadap hasil penyelidikannya. Andaian itulah yang akan dibuktikan oleh penyelidikan yang bakal dijalankan. Untuk menghasilkan suatu hipotesis yang baik ia perlulah mempunyai sifat-sifat seperti berfokus, jelas, logik, difahami dan dapat diuji. Dalam contoh sekularisasi, selepas mengadakan rujukan, penyelidik mungkin memahami sekularisasi sebagai proses di mana agama kehilangan pengaruh terhadap pelbagai situasi kehidupan sosial. Sekularisasi akan menyebabkan keruntuhan pengaruh-pengaruh organisasi dan nilai-nilai agama kepada idea-idea sains dan ilmu-ilmu pengetahuan duniawi yang dianggap moden. Oleh itu, berdasarkan pemodenan di negara kita, hipotesis penyelidikan mungkin mengandaikan bahawa sekularisasi telah berlaku di kalangan murid-murid sekolah. Perkara itulah yang akan dibuktikan oleh penyelidik melaui kajian yang dilaksanakannya.

2.4 Menentukan Kaedah
Kaedah merupakan cara atau jalan menyelesaikan permasalahan penyelidikan. ‘Kaedah penyelidikan merupakan segala langkah yang diambil untuk mencapai segala objektif penyelidikan’(Ahmad Mahdzan Ayob 1995:44). Selepas menetapkan masalah yang hendak dikaji, barulah difikirkan kaedah penyelidikan yang sesuai digunakan. Adalah salah sekiranya kita menentukan kadah sebelum ada persoalan.
Secara umum kaedah utama penyelidikan untuk mendapatkan data terbahagi kepada dua, iaitu dengan menggunakan pendekatan kuantitatif dan pendekatan kualitatif. Kita boleh memilih salah satu pendekatan ataupun menggabungkan kedua-duanya. Dihubungkan dengan teori-teori sosiologi, teori yang berbentuk makro selalu akan menggunakan pendekatan kuantitatif sementara yang berbentuk mikro kebiasaannya menggunakan pendekatan kualitatif.
Terdapat perbezaan antara penyelidikan kuantitatif dan penyelidikan kualitatif . Pendekatan kuantitatif mengutamakan ‘kuantiti’. Penyelidikan kuantitatif melibatkan angka-angka, data-data numerikal atau statistik. Statistik melibatkan pengiraan-pengiraan seperti min, median, mod, peratusan, sisihan piawai, skor-Z, skor-T, varian, dan sebagainya. Pendekatan kuantitatif dikatakan lebih berstruktur , mempunyai darjah kekaburan yang minima, makna yang jelas, bercorak linear, mempunyai penjadualan yang jelas, dan menumpukan kepada hasil. Dari segi skop kajian ia boleh melibatkan responden yang besar. Pendekatan kualitatif pula berasaskan ‘kualiti’. Ianya bersifat deskriptif yang lebih kepada penghuraian ‘makna’ perkara-perkara yang dikaji. Ia tidak mengutamakan data-data berbentuk numerikal. Ia kurang berstruktur, terbuka dan lebih menumpukan kepada proses. Skop kajiannya pula meliputi bilangan responden yang kecil .
Sungguhpun terdapat perbezaan-perbezaan kualitatif dan kuantitatif, kedua-duanya merupakan kaedah penyelidikan yang empirikal. Semua penyelidikan empirikal mempunyai persamaan-persamaan asas seperti mempunyai matlamat, sistematik dalam prosedur, membuat perbandingan, membuat deskripsi, menguji hipotesis, membuat penjelasan sebab dan akibat dan membuat analisa kritikal. Kita boleh memilih salah satu daripada pendekatan terutamanya berdasarkan masalah dan keluasan skop kajian yang akan kita laksanakan.
Sekiranya kajian kita melibatkan jumlah responden yang besar misalannya melebihi empat puluh orang, pendekatan kuantitatif lebih sesuai. Sekiranya kita cuma memilih bilangan responden yang kecil, misalnya lima orang, maka pendekatan kualitatif dipilih.
Dalam kajian ‘sekularisasi’, sekiranya kita ingin menyelidik seluruh komuniti sekolah, kita mungkin akan menggunakan kuantitatif kerana sampel yang besar diperlukan. Sekiranya kajian hanya melibatkan sebilangan kecil murid dalam sebuah bilik darjah yang mempunyai tiga puluh orang murid, kita mungkin lebih sesuai memilih pendekatan kualitatif. Kita juga boleh menggunakan kedua-dua pendekatan kualitatif dan kuantitatif dalam satu kajian yang sama. Kita harus ingat bahawa isu utama yang menjadi asas kepada kaedah penyelidikan adalah permasalahan, bukan kaedah menentukan penyelidikan. Dengan kata lain setiap penyelidikan bermula dengan masalah, bukan metodologi. Setelah ada permasalahan barulah data-data dicari melalui metodologi-metodologi dan strategi pilihan sesuai.

2.5 Menentukan Strategi dan Teknik
Maklumat dapat diperolehi daripada berbagai-bagai sumber. Strategi dan teknik merupakan cara-cara yang kita gunakan untuk mengumpul data-data atau maklumat dalam penyelidikan. Menurut Robson (1993) ‘strategi merujuk kepada gaya atau orientasi umum untuk menyelesaikan masalah penyelidikan’. Strategi yang dianggap tradisional ialah seperti eksperimen, tinjauan (survey) dan kajian kes. Tujuan kajian akan membantu menentukan strategi kajian. Teknik atau taktik pula merujuk kepada kaedah khusus dalam rekabentuk kajian. Contohnya seperti temubual, soal selidik, partisipasi, dan sebagainya. Setiap strategi dan teknik masing-masing mempunyai kelebihan dan kekurangannya. Penyelidikan boleh memilih strategi dan teknik tertentu ataupun menggabungkannya.
Apa yang penting ialah strategi dan teknik yang dipilih mempunyai ciri-ciri kredibiliti, keobjektifan, kebolehanpercayaan, keesahan dan kebolehan untuk generalisasi.
Penyelidikan yang empirikal akan memilih strategi dan teknik yang sesuai dan betul dalam mengumpul data. Secara amnya terdapat dua kategori data iaitu data primer dan data sekunder. Data primer merupakan data-data yang diperolehi secara langsung daripada ‘kejadian’ sosial sebenar. Antara teknik yang selalu digunakan untuk mendapatkan data primer adalh seperti soal selidik, temubual, dan partisipasi. Data sekunder pula merupakan maklumat-maklumat daripada bahan sedia ada dan boleh diperolehi melalui rujukan perpustakaan. Ia melibatkan kajian-kajian teks, dokumen, kertas kerja, mikro filem, media massa, dan sebagainya. Dalam contoh mengkaji kesan sekularisasi, data-data yang diperolehi hasil temubual dengan murid tersebut sebagai data primer. Data-data yang kita perolehi melalui bacaan di perpustakaan pula dianggap sebagai data sekunder.
Sungguhpun setiap penyelidikan akan menentukan teknik masing-masing, secara umumnya boleh dibezakan antara teknik yang dipilih oleh penyelidikan kualitatif dan penyelidikan kuantitatif. Teknik yang biasa dipilih oleh penyelidikan kualitatif ialah pemerhatian, temubual, soal selidik, kajian-kajian bahan seperti dokumen dan teks, visual seperti gambar dan video, laporan rasmi, bahan-bahan ephemera seperti iklan, poster, risalah, diari, karton, dan lain-lain. Bagi penyelidikan kuantitatif strategi asas ialah soal selidik, menganalisa maklumat-maklumat data-data numerikal yang sedia ada dan melakukan eksperimen statistik.
Dalam contoh kajian kesan sekularisasi, sekiranya kita mempunyai sampel yang besar, kita boleh memilih strategi menggunakan borang soal selidik yang diedarkan kepada responden. Sekiranya sampel yang dipilih cuma lima orang, kita boleh memilih strategi temubual. Kajian rintis atau praujian perlu dilakukan untuk melihat sejauh manakah strategi dan teknik yang telah dipilih sesuai dan mampu dilaksanakan. Sebagai contoh, jika kita menggunakan borang soal selidik, ianya perlu dicuba terlebih dahulu. Borang-borang diedarkan kepada responden terpilih. Hasilnya akan dikaji dan dimana perlu pengubahsuaian dilakukan terhadap kandungan borang soal selidik sebelum ianya diedarkan untuk penyelidikan sebenar.

2.6 Menjadualkan Kerja
Sesuatu penyelidikan perlulah dirancang dengan teliti. Perancangan atau pelan tindakan akan membantu seseorang penyelidik dalam mendapatkan maklumat dan memudahkan kerja-kerjanya. Perancangan hendaklah bersesuaian dengan skop kajian, kaedah yang dipilih, kemudahan-kemudahan fizikal dan situasi si pengkaji. Dari segi skop, skop yang luas memerlukan masa yang mungkin lebih panjang.
Kaedah kuantitatif memerlukan masa untuk menyediakan soal selidik, melakukan kajian rintis, mengedarkan borang dan menganalisa data-data numerikal. Bagi kaedah kualitatif masa yang panjang mungkin diperlukan mengaturkan temujanji, mengadakan perjumpaan dan menganalisa data-data selepas temubual. Kemungkinan pula seorang penyelidik sepenuh masa akan menjadualkan masa yang lebih singkat berbanding dengan penyelidik sambilan dalam meyempurnakan kerja-kerja penyelidikan yang serupa. Dari segi kemudahan fizikal penyelidik patut mengambil kira keperluan-keperluan logistik dan anggaran perbelanjaan. Oleh itu jadual kerja perlulah diselaraskan dengan peruntukan kewangan.
Sungguhpun sebahagian proses penyelidikan boleh dilakukan di dalam perpustakaan, menyelidik merupakan aktiviti turun ke padang. Maksudnya seorang ahli sosiologi sepatutnyalah melihat dan mengkaji kejadian sebenar dalam kehidupan sosial. Oleh itu penyelidikan sosial yang signifikan adalah berdasarkan data-data hasil daripada kerja lapangan seperti temubual, pemerhatian, penyertaan, dan soal selidik. Beberapa masalah mungkin dihadapi dalam melaksanakan kerja lapangan.Antaranya pelbagai isu etika perlu diselesaikan.
Pertamanya kita perlu mendapatkan kebenaran daripada autiroti berkenaan. Jika kita hendak membuat kerja lapangan di sekolah misalnya, kebenaran pengetua terlebih dahulu diperlukan. Keduanya penyelidikan melibatkan sensitiviti banyak pihak. Terdapat penyelidikan yang mungkin menyinggung perasaan pihak tertentu. Kajian mengenai persoalan sekularisme atau seks misalnya, dianggap sensitif oleh banyak pihak. Oleh itu pengkaji perlulah berhati-hati dalam menanganinya. Ketiganya penyelidik mesti menyedari akan hak responden. Responden tidak boleh dipaksa untuk diselidik. Segala jawapan mereka mestilah secara sukarela. Keempatnya, penyelidik sepatutnya tidak bersikap berat sebelah atau bias dalam kajiannya. Penyelidikan yang bersifat etnosentrik mungkin akan menjejaskan keobjektivitian kajian. Ringkasnya penyelidikan melibatkan persoalan etika, isu-isu sensitif dan politik yang tidak dapat dielakkan oleh penyelidik. Maka terpulanglah kepada si penyelidik untuk mendapatkan maklumat yang beretika, benar dan tepat.

2.7 Menganalisa dan Menginterpretasi Data
Menginterpretasi data merupakan perkara penting yang menarik minat penyelidik. Penganalisaan perlu dilakukan dengan teliti. Data-data akan membuktikan atau menafikan hipotesis penyelidikan. Bagi penyelidikan kuantitatif, data-data perlu diproses dengan pengiraan yang berhati-hati supaya tidak berlaku kesalahan statistik. Sekarang penganalisaan data adalah lebih mudah dengan bantuan program komputer. Dalam menganalisa statistik, kita harus akur dengan kenyataan ‘statistik tidak selalunya benar-benar membuat kenyataan yang tepat, ia hanya mencadangkan kenyataan yang betul, iaitu ada kemungkinan betul dan ada kemungkinan tidak betul’.Maklumat-maklumat hasil penyelidikan kualitatif pula perlu dicatatkan semasa atau sebaik sahaja kerja lapangan dijalankan. Ini terutamanya untuk mengelakkan penyelidik misalnya ‘terlupa’ akan maklumat-maklumat yang baru diperolehinya. Penganalisaan dapat dibantu dengan penggunaan carta, jadual, graf, rajah, transkrip, dan sebagainya.

2.8 Melaporkan Hasilan
Melaporkan hasil bermaksud menukarkan penyelidikan yang telah dijalankan kepada bentuk susunan teks bertulis. Ia merupakan peringkat akhir sesuatu penyelidikan. Penulisan laporan selalunya dibahagikan kepada beberapa tajuk kecil iaitu pengenalan dan latar belakang kajian, hipotesis dan kaedah kajian, analisa data-data, rumusan dan penutup, bibliografi dan lampiran-lampiran yang berkaitan.
Sebelum bahagian pengenalan, laporan selalunya mengandungi ruang untuk ‘halaman’ dan ringkasan atau abstrak kajian. Bahagian pengenalan menerangkan mengenai tajuk dan bidang kajian. Pada kebiasaannya sebahagian besar isinya adalah berdasarkan rujukan-rujukan sekunder. Bahagian hipotesis pula menyatakan harapan-harapan pengkaji terhadap hasil kajian. Ia juga menerangkan rasional di sebalik kaedah yang dipilih. Selepas itu barulah penulisan membincangkan hasil-hasil berdasarkan data-data yang diperolehi. Hujahan-hujahan yang kritikal disertakan. Dapatan-dapatan utama merupakan perkara-perkara yang berkaitan secara langsung dengan permasalahan penyelidikan. Mungkin juga terdapat dapatan-dapatan sampingan yang tidak secara langsung berkaitan dengan topik kajian. Akhirnya penyelidik akan membuat rumusan daripada hasil kajian dan membuat cadangan-cadangan yang berkaitan. Adalah menjadi kebiasaan setiap penyelidikan sosial mencadangkan kajian-kajian lanjut berdasarkan dapatan-dapatannya.

3.0 Penutup
‘Sungguhpun dari beberapa segi setiap projek penyelidikan adalah unik tetapi semua projek itu melibatkan kelima-lima peringkat asas yang sama. Peringkat-peringkat asas ini ialah memilih permasalahan ; merumuskan rekabentuk penyelidikan ; mengumpul data ; pengkodan dan menganalisis data dan mentafsirkan hasil kajian. Tiap-tiap peringkat itu saling bergantung antara satu sama lain dan keseluruhan proses penyelidikan itu seolah-olah membentuk suatu kelingkaran. Jika hipotesisnya ditolak, penyelidik mesti mengkaji semula kajian-kajian dan membuat kajian sekali lagi. Malah jika hipotesisnya betul, penyelidik selalu berhajat untuk membuat replikasi atau mengulang semula kajiannya untuk memastikan penemuan-penemuan adalah tepat’.
(Kenneth D. Bailey,1992)
Perbincangan setakat ini telah menggariskan langkah-langkah umum yamg dapat dijadikan sebagai panduan dalam melaksanakan penyelidikan sosiologi. Sayugia dijelaskan bahawa perbincangan di sini bukanlah merupakan suatu pembentangan yang lengkap mengenai penyelidikan. Sememangnya penyelidikan yang akademik sifatnya memerlukan perincian-perincian yang lebih mendalam. Namun begitu apa yang diharapkan adalah perbincangan ini dapat memberikan gambaran awal tentang penyelidikan dan mendorong mereka yang berminat untuk menyelidik.


Senarai Rujukan

Amir Hasan Dawi, 1999, Penteorian Sosiologi dan Pendidikan, Quantum Books,
Tanjung Malim.

Alex Inkeles, 1982, Apa Itu Sosiologi ? Suatu Pengenalan Mengenai Disiplin dan
Profesion, Universiti Harvard, DBP, Kuala Lumpur.

Kenneth D. Bailey, 1992, Kaedah Penyelidikan Sosial, DBP, Kuala Lumpur.

Mohd. Salleh Lebar, 1998, Pengenalan Ringkas Sosiologi Sekolah dan Pendidikan,
Thinker’s Library Sdn.Bhd., Selangor.

Syed Arabi Idid, 1993, Kaedah Penyelidikan Komunikasi dan Sains Sosial, DBP,
Kuala Lumpur.
Diambil dari : http://jombacabuku-ebook.blogspot.com/p/asas-penyelidikan.html