Sabtu, 18 Februari 2012

TEORI MASLOW

1.0      PENGENALAN

Motivasi  merupakan  satu  penggerak dari dalam hati seseorang untuk melakukan atau inginkan mencapai sesuatu matlamat.  Motivasi boleh juga dikatakan sebagai rancangan atau kehendak untuk menuju kejayaan dan mengelakkan dari kegagalan hidup. Dengan kata lain  motivasi adalah proses menghasilkan tenaga oleh keperluan  diarahkan untuk mencapai sesuatu matlamat. Seseorang yang mempunyai motivasi bermakna ia telah memperolehi kekuatan untuk mencapai kecemerlangan dan kejayaan dalam kehidupan.. Dalam satu-satu kelompok kumpulan, motivasi menjadi penggerak kepada kejayaan kumpulan.  Dengan adanya motivasi, maka wujudlah kerjasama, sifat suka tolong-menolong antara satu sama lain.

Motivasi memainkan peranan yang sangat penting dalam bidang pendidikan.  Guru dan murid memerlukan motivasi untuk mengerakkan dirinya untuk mencapai kualiti kerja atau kejayaan yang lebih cemerlang.  Di sini motivasi boleh ditakrifkan sebagai kebolehan  atau persetujuan yang dilaburkan untuk mengembangkan tenaga demi mencapai matlamat atau juga penghargaan.  Oleh yang demikian motivasi adalah merupakan keadaan apabila keperluan manusia itu dipenuhi dengan diberi ganjaran dan sesuatu status yang baik.  Ekoran daripada itu, mereka akan bekerja dengan lebih baik kerana tiada lagi kebimbangan, rasa  selamat dan kehidupan yang terjamin  telah tersedia untuk mereka.  Begitu juga dengan kepuasan, jika seseorang itu diberi motivasi, maka secara tidak langsung kehendak mereka telah dipenuhi . Terpenuhnya kehendak dan kemahuan oleh seseorang itu boleh memberikan suatu kepuasan yang tidak terhingga pada diri seseorang.  Pada masa yang sama guru juga menjadi “motivator” kepada pelajar-pelajarnya untuk berjaya dalam kehidupan mereka.  Seorang guru yang baik mesti mempunyai motivasi yang dinamik, cekap dan sentiasa berusaha untuk memajukan serta meningkatkan pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah.  Guru yang bermotivasi juga mempunyai tenaga untuk menjadi penggerak kepada pelajar-pelajarnya.

Pelajar yang bermotivasi ialah pelajar yang mempunyai minat untuk belajar bagi mencapai matlamatnya.  Mereka akan mendengar dan memberikan perhatian sepenuhnya kepada pelajarannya.  Mereka aktif di dalam dan di luar kelas, mudah bertindak dan sedia menerima teguran dan arahan guru.  Mereka boleh berdikari dan suka memberikan pandangan dan pendapat dalam kelas.  Pelajar-pelajar seperti ini mempunyai penggerak dalam dirinya untuk mencapai kecemerlangan akademik dan juga dalam hidup keseluruhannya.  Oleh itu pengajaran dan pembelajaran  yang berkesan di sekolah boleh dicapai melalui guru dan pelajar yang sentiasa bermotivasi.

Ahli-ahli psikologi berpendapat bahawa tingkah laku manusia boleh dipengaruhi oleh beberapa faktor.  Adakalanya manusia bertindak berdasarkan perasaan dan nalurinya sendiri dan juga kadang-kala dipengaruhi oleh persekitaran sekeliling.  Melalui apa cara pun, manusia bertindak untuk mencapai sesuatu matlamat dan ia akan mencari jalan yang paling mudah untuk mancapai matlamat tersebut.  Apa yang mendorong manusia bertindak untuk sesuatu tujuan itu ialah apa yang dinamakan “motivasinya”  Untuk memahami dengan lebih mendalam tentang tindakan manusia ini kita perlulah mengkaji beberapa teori yang berkaitan.  Jadi teori yang akan diketengahkan disini ialah tentang teori motivasi “Maslow”.


2.0 Teori Motivasi Maslow

Struktur dan fungsi di dalam badan organisme mempunyai keperluan yang tertentu.  Telah diakui bahawa manusia sebagai makhluk yang paling tinggi mempunyai keperluan yang kompleks.   Berdasarkan Atan Long ( 1976 : 131 ), Maslow (1954) telah menjelaskan bahawa keperluan-keperluan manusia itu berperingkat-peringkat.  Sesuatu peringkat keperluan yang lebih tinggi tidak mungkin diperolehi sebelum keperluan yang lebih rendah peringkatnya dipenuhi terlebih dahulu.  Pada peringkat yang paling asas terdapat keperluan hayat ataupun keperluan fisiologi.  Setelah keperluan ini dipenuhi baharulah keperluan keselamatan, diikuti keperluan kasih-sayang, seterusnya peringkat penghargaan kendiri atau penghormatan diri dan peringkat tertinggi atau puncak bagi keperluan manusia adalah peringkat keperluan bagi penyempurnaan kendiri.

Peringkat keperluan manusia mengikut teori Maslow ini dapat dilihat seperti rajah di bawah.

1. Keperluan Estetik
2. Keperluan Mengetahui
3. Penyempurnaan Diri
4. Penghargaan Kendiri
5. Kasih Sayang
6. Keselamatan
7. Fisiologi

Model Maslow yang berbentuk peringkat itu merupakan perkembangan ‘ontological’ individu kerana setiap peringkat perkembangan perlu dilalui oleh individu misalnya pada masa bayi atau kanak-kanak, individu memerlukan perlindungan dan keselamatan, diikuti dengan kasih-sayang, dan penghormatan diri dan keperluan ini terus bertambah sehingga kepada peringkat penyempurnaan kendiri.  Kajiannya mendapati semakin tinggi keperluan individu itu maka semakin kurang pergantungan kepada persekitaran social kerana dalam hal ini individu menggunakan pengalaman lampau untuk menentukan tingkah-lakunya.  Pada masa ini motivasi bergantung kepada kemahuan dalaman, kemampuan, potensi, bakat, dan kreativiti impuls individu.  Sementara itu persekitaran sosial merupakan faktor desakan dalam mencapai kemahuan ini.  Maka dengan itulah juga Maslow menamakan keperluan peringkat terbawah sebagai keperluan kekurangan dan peringkat paling tinggi sebagai keperluan perkembangan.


2.1       Keperluan Fisiologi

Mengikut teori Maslow, peringkat ini merupakan keperluan yang paling asas. Keperluan ini adalah penting bagi kehidupan sesuatu organisme, apatah lagi manusia.     Keperluan asas ini merangkumi apa yang diperlukan untuk diri atau fizikal seseorang seperti keperluan mendapatkan makanan, minuman dan tempat tinggal.  Membicarakan teori motivasi Maslow dalam konteks pendidikan, pelajar-pelajar yang mendapat kurang makanan tidak dapat menumpukan perhatian yang sepenuhnya terhadap pelajaran mereka. Ini kerana kesan daripada kekurangan keperluan ini akan mengakibatkan kesihatan pelajar terganggu atau terjejas.  Bagi mengelakkan perkara ini berlaku, para guru sepatutnya memberikan perhatian dan mengambil berat kepada tanda-tanda yang menunjukkan apa-apa kekurangan dari segi fizikal pelajar itu.  Sekiranya keperluan ini tidak dipenuhi pelajar akan kurang bermotivasi atau berminat terhadap pelajaran.
 Selain itu, salah satu lagi yang termasuk dalam keperluan asas manusia adalah keperluan seks.  Keperluan ini akan mencapai kemuncaknya apabila seseorang itu mencapai peringkat baligh.   Melalui keperluan ini, setiap individu dapat mengetahui peranan jantina masing-masing.  Mereka perlu berkahwin untuk memenuhi keperluan seks.  Bagi remaja yang cuba memenuhi keperluan seks melalui hubungan seks yang tidak selamat, boleh mendatangkan penyakit yang berbahaya kepada mereka.  Kekurangan keperluan seks boleh menyebabkan seseorang individu tidak dapat melakukan tugasan lain kerana keperluan ini adalah merupakan  keperluan utama yang perlu dipenuhi terlebih dahulu.


2.5       Keperluan Keselamatan

Telah menjadi lumrah setiap yang bernyawa, aspek keselamatan amat penting dalam hidup.  Demikianlah tiap-tiap individu memerlukan keperluan ini tetapi dengan kekuatan yang berbeza-beza..  Ada individu yang kurang mempunyai keperluan ini dan menjadikannya lebih gemar bersendirian, tetapi ada individu yang mempunyai keperluan ini dengan kuatnya sehingga menjadikannya bergantung di dalam banyak hal kepada orang lain.  Keperluan ini boleh jadi timbul daripada keadaan anak-anak kecil yang tidak dapat hidup dengan sendirinya dan memaksa ia bergantung kepada orang dewasa terutama ibu bapa untuk mendapatkan keperluan ini agar ia sentiasa dilindungi.  Sebagai contoh semasa dalam kesakitan seorang kanak-kanak amat memerlukan jagaan ibu bapa.  Sikap kepekaan dan keprihatinan seorang ibu atau bapa yang bertanggungjawab diharapkan demi menjaga keselamatannya dan hasil penyelidikan yang dibuat oleh Harlow dan Zimmerman (1958) berdasarkan kajiannya turut menunjukkan betapa pentingnya perdampingan dan sentuhan orang dewasa kepada seseorang kanak-kanak.

Hal yang sedemikian turut berlaku di dalam kelas.  Pelajar-pelajar memerlukan keselamatan daripada seorang guru iaitu dalam bentuk disiplin.  Oleh itu dari peringkat awal lagi, kanak-kanak perlu diajar akan disiplin ini.  Mereka tidak boleh dibiarkan mendisiplinkan diri mereka sendiri.  Sebagai seorang yang berpengalaman, wajarlah ibu bapa memainkan peranannya dalam mendidik dan mengajari kanak-kanak akan hal ini.

Di dalam kelas guru pula berperanan besar.  Keselamatan di dalam kelas dapat dijamin jikalau seseorang guru itu bertindak dengan konsisten.  Ini kerana pelajar-pelajar itu akan dapat belajar dengan lebih berkesan jika mereka dapat mengetahui perasaan atau ‘mood’’ guru itu.  Contohnya, cara seseorang guru itu memberikan arahan.  Semestinya setiap arahan yang diberi tidak bercanggah.  Di samping itu apa yang penting juga guru seharusnya ada sikap toleransi terhadap para pelajarnya.  Ini kerana pelajar-pelajar akan berasa selamat dan membolehkan mereka dapat menumpukan perhatian sepenuhnya terhadap proses pembelajaran.


2.3     Keperluan Kasih-sayang

Berdasarkan Teori Maslow, turut diperlukan keperluan ini  untuk mendapatkan hubungan yang mesra, kasih-sayang, dan perasaan diri.  Kebiasaan yang berlaku di dalam kelas, pelajar kadang-kadang akan berasa terganggu apabila terjadi perkelahian atau perbalahan antara satu sama lain.  Mereka berasakan diri dan emosi mereka berada di dalam keadaan yang tidak stabil menyebabkan tidak dapat menumpukan perhatian terhadap proses pembelajaran mereka.  Keadaan ini akan menjadi lebih kritikal dan tegang jikalau mereka dimarahi pula oleh guru dan dikenakan denda.  Situasi ini akan menimbulkan rasa tidak senang di kalangan pelajar terbabit dan merasakan diri mereka seolah-olah tidak disukai, dihargai, atau tidak dipedulikan oleh guru mahupun kawan-kawan. Ekoran daripada itu keinginan, minat, juga kehendak atau motivasi mereka untuk belajar akan pudar dan lenyap.

Dalam konteks ini, guru perlulah memberi tunjuk-ajar kepada mereka dengan menasihati atau mengadakan sesi kaunseling untuk mengeratkan hubungan yang baik sesama mereka.  Apa yang penting juga ini akan dapat memelihara hubungan yang baik dan mesra di antara pelajar dengan guru.   Melalui cara ini, pelajar akan merasakan mereka diterima, dihormati, serta dihargai oleh anggota lain dalam komuniti yang kecil dan mereka ada hak milik keanggotaan dalam komuniti tersebut.  Secara tidak langsung, proses pengajaran pembelajaran berjalan dengan baik, harmonis, lancar, dan berkesan  kerana masing-masing individu telah dapat memenuhi keperluan kehendaknya.


2.4     Keperluan Penghargaan Kendiri

Satu unsur besar dalam pembinaan konsep kendiri adalah penerimaan. Penerimaan oleh keluarga, guru dan rakan sebaya amatlah penting. Penerimaan bermaksud menghargai sifat-sifat istimewa individu  sebagai manusia unik yang bebeza dengan individu lain dari segi sikap, pengetahuan dan kemahiran.Penerimaan bererti memberi peluang kepada individu belajar menerima diri mereka sendiri.Penerimaan rakan sebaya penting supaya mereka tidak merasa tersingkir.Murid yang diterima kerap kali memperolehi prestasi akademik yang tinggi berbanding individu yang tidak diterima rakan sebaya. Murid yang diterima merasai diri mereka dihargai, dikasihi dan bernilaai.Oleh itu mereka dapat berinteraksi secara positif membincangkan masalah pembelajaran dalam kumpulan.Guru perlu menyediakan aktivviti seperti projek-projek bagi setiaap murid supaya mereka dapat berdamping dan mendampingi murid yang lain.

Setiap individu memerlukan penilaian yang tinggi dan stabil tentang diri mereka.  Bagi memenuhi kehendak atau membolehkan perkara ini berlaku, terlebih dahulu seseorang itu perlu menghormati dirinya sendiri dan berusaha pula menjadikan dirinya dihargai oleh orang lain.  Faktor yang penting ialah keperluan ini dapat dipenuhi apabila seseorang itu mempunyai keyakinan diri dan kebebasan, juga pengiktirafan, perhatian, dan penilaian diri orang lain.  Konsep ego seseorang itu berkait rapat dengan perasaan penghargaan diri.  Berdasarkan Saedah, Zainun, dan Tunku Mohani (1996 : 13) mengungkap kata-kata Kubiniec, 1970, ‘Orang yang mempunyai konsep diri yang kuat lebih berkemungkinan mencapai kejayaan akademik  Ini bertepatan sekali jika dihubungkaitkan dengan diri seseorang pelajar itu.  Rasa ingin tahu mempunyai pertalian yang erat untuk memenuhi kehendak ini.  Rasa ingin tahu ini juga akan menggerakkan pelajar tersebut mendapatkan pengetahuan dan pengalaman yang menarik perhatian mereka.

Keinginan ini juga mendorong pelajar untuk belajar dan mencari pengetahuan dengan membaca buku, mentelaah, menjalani proses pembelajaran atau mencuba berbagai-bagai perkara yang belum dialaminya.  Oleh itu menjadi tugas seseorang guru memberikan tugasan, yang sesuai untuk diterokai serta yang mampu dan boleh dilaksanakan oleh pelajar.  Pelajar akan merasakan diri mereka penting apabila sesuatu tugasan yang diberi dapat dilaksanakan dengan sebaiknya.  Ini dapat memupuk diri pelajar untuk lebih berkeyakinan seterusnya keinginan dan minat mereka untuk terus belajar dan berjaya makin meluap-luap.  Seseorang guru juga perlu berusaha dan memastikan  jangan ada pelajarnya yang gagal atau tercicir kerana mereka ini akan merasakan penghargaan dirinya amat rendah.


2.5       Keperluan Penyempurnaan Kendiri

Konsep kendiri adalah pengertian atau kefahaman seseorang terhadap dirinya sebagai individu yang asing yang memiliki satu ciri-ciri yang unik atau istimewa ( Shaffer,1985 ).Ia membawa maksud bagaiman seseorang individu itu berpendapat dan menganggap dirinya.Penyempurnaan kendiri pula bermaksud apa yang seseorang itu boleh jadi, ia mesti jadi, iaitu potensinya dilahirkan.  Anggapan dan pendapat itu adalah berasaskan kepekaan dan kesedaran tentang kekuatan dan kelemahannya.Kesedaran itu pula lahir daripada maklum balas, gerakbalas atau preaksi individu lain disepanjang pergaulan, sosialisasi atau interaksi dengan individu lain.

Cohen (1959) menjelaskan bahawa orang yang mempunyai konsep kendiri yang tinggi dikonsepsikan sebagai orang yang menyukai atau menghargai dirinya dengan melihat dirinya berkebolehan  dalam hubungan dengan dunia luar. Manakala mereka yang mempunyai konsep kendiri yang rendah pula melihat dirinya sebagai orang yaang membenci dan tidak menghargai dirinya.Iaitu seseorang yang tidak berkebolehan untuk berhubung secara berkesan dengaan persekitarannya.

Peringkat penyempurnaan kendiri ini adalah peringkat yang paling tinggi dan hanya diperolehi apabila semua keperluan peringkat bawah itu telah dipenuhi.  Demikian pula mengikut Atan Long (1976 : 148) daripada Maslow (1970),  keperluan untuk penyempurnaan kendiri itu adalah keperluan yang menjadi kemuncak atau yang tertinggi di dalam peringkat sistem keperluan manusia.  Keperluan ini hanya dapat dicapai setelah seseorang itu memenuhkan keperluan lain yang terdapat pada peringkat yang lebih bawah di dalam sistem keperluan tadi.  Menurutnya lagi, keperluan penyempurnaan diri ini merupakan pemenuhan keseluruhan keperluan manusia.

Ini bermakna seseorang yang telah mencapai peringkat ini telah dapat memenuhi keperluan untuk mendapatkan keindahan dan estetika; ia telah dapat dengan sepenuhnya akan makna hidup; ia dapat menerima keadaan dirinya dan orang lain; ia merasakan gembira tentang nikmat hidup dan telah menggunakan kebolehannya dengan semaksimanya.
 Penerimaan diri berlaku melalui sosialisasi dengan individu lain.Sikiranya individu itu diterima oleh orang lain, dia juga akan menerima dirinya.Penerimaan diri boleh mempengaruhi tindak tanduk individu dalam menghadapi  cabaran hidup ini.Manakal perhargaan diri pula bermaksud sikap penerimaan atau tidak penerimaan individu terhadap dirinya.Individu yang tinggi penghargaan dirinya selalu berkebolehan membenteras dan mengatasi kegawatan persenoliti serta kurang upaya mengendalikan masalah yang timbul dalam hidupnya.

Untuk membina konsep kendiri yang positif ibu pada dan para pendidik perlu memberi dorongaan, bantuan dan sokongan kepada murid. Bantuan kemudahan dan sokongan moral perlu dalam pembelajaran mereka. Ibu bapa dan pendidik juga perlu  menyediakan segala jenis pengalaman hidup untuk membantu murid mengembangkan bakat atau potensi mereka.

Dalam meniti arus kehidupan untuk membantu murid mengembangkan bakat  atau potensi mereka. Di sekolah, terdapat banyak ruang atau peluang-peluang yang diberi atau disediakan kepada pelajar-pelajar untuk mencapai peringkat penyempurnaan kendiri ini seperti pemilihan aktiviti oleh pelajar sendiri, rancangan belajar yang bebas juga sesi bimbingan kaunseling.  Melalui aktiviti-aktiviti tersebut pelajar dapat memilih jenis pengetahuan atau kemahiran yang mereka kehendaki dan mereka juga bebas menggunakan masa untuk mengembangkan pengetahuan atau kemahiran itu  Apabila pelajar berusaha untuk mencapai peringkat penyempurnaan kendiri, maka mereka mesti belajar dengan tekun, bersungguh-sungguh, serta melipatgandakan usaha melalui arah yang tegas dan berdisiplin.  Di samping itu pelajar juga perlu mengetahui had aktiviti mereka.

Dalam membantu para pelajar berjaya mencapai sehingga peringkat ini, guru perlu memainkan peranannya.  Guru harus membantu menyuburkan minat, bakat, juga kebolehan pelajar dengan menjadi pembimbing atau fasilitator kepada mereka.  Dengan ini pelajar dan guru berjalan seiringan dalam memenuhi satu matlamat.  Kesan daripada itu proses pengajaran serta pembelajaran dapat ditingkatkan seterusnya mendatangkan manfaat kepada semua pihak.


2.6        Keperluan Mengetahui

Keperluan mengetahui adalah berkaitan dengan perasaan ingin tahu sesuatu perkara.  Ia berhubung juga dengan keperluan mencari, menyusun serta menganalisis sesuatu maklumat.  Untuk mengetahui sesuatu perkara, seseorang itu mestilah berusaha mencari jawapan mengenai makna kehidupannya dan tentang kewujudan dirinya.   Dalam konteks sekolah, guru mestilah sentiasa mengajar dengan cara ikuiri penemuan dan kajian supaya semua pelajar dapat melibatkan diri dalam proses mencari maklumat dan pemikiran reflektif.


2.7       Keperluan Estetik

Keperluan estetik adalah merujuk kepada keperluan manusia untuk memiliki dan memahami keindahan dan kecantikan dalam dirinya.  Salah satu untuk memiliki perasaan tersebut adalah dengan cara memiliki baranganyang cantik dan mempunyai unsur-unsur kesenian dalam dirinya.    Akibat keperluan ini manusia sanggup membelanjakan beratus malahan beribu ringgit untuk memiliki barangan yang indah .
 Dalam konteks sekolah pula, pelajar perlu digalakkan supaya lebih melibatkan diri dalam aktiviti-aktiviti yang dapat mengembangkan otak kanan mereka seperti dalam bidang drama, muzik dan sebagainya.


3.0    APLIKASI

Tugas guru semakin mencabar semasa menjalankan tugasnya sebagai pendidik dewasa ini. Dalam pengajaran dan pembelajaran, motivasi dianggap sebagai satu unsur yang membolehkan murid melibatkan diri secara aktif. Di samping itu ianya menjadikan proses pembelajaran berlaku dalam situasi yang bermakna,berfaedah dan menyeronokan.Guru merupakan penggerak kepada muridnya supaya berjaya dalam pembelajaran. 

Guru hendaklah sentiasa memberi peneguhan serta-merta kepada muridnya apabila mereka memperlihatkan tingkahlaku positif. Peneguhan ini boleh diberi dalam pelbagai bentuk seperti pujian, senyuman atau hadiah. Secara tidak langsung dapat mempertingkatkan lagi aras motivasi serta meningkatkan prestasi murid-muridnya.

Guru perlu memastikan setiap mata pelajaran yang diajar menarik minat muridnya. Guru  mesti menentukan proses  pengajaran dan pembelajaran itu sentiasa aktif, bersifat menyelidik, menyeronokkan dan bermanafaat. Aktiviti  pembelajaran perlu menggalakkan interaksi sosial dan interaksi dalam kumpulan. Penyampaian  pengajaran yang tidak menarik boleh menyebabkan murid-murid merasa bosan. Oleh itu, guru perlu menyerapkan pelbagai unsur aktiviti seperti proses penyelidikan, keseronokan dan sebagainya.Guru boleh menyuruh murid ke perpustakaan atau makmal komputer untuk mencari maklumat tentang topik-topik yang berkaitan dengan pelajaran yang dipelajari.Guru juga boleh mengadakan lawatan sambil belajar ke tempat-tempat yang bersejarah atau tempat yang sesuai dengan pelajaran.Ini adalah berguna  untuk pelajar yang mempunyai gaya pembelajaran pragmatis kerana mereka dapat melihat pertalian antara  teori dan fakta yang dipelajari  dengan situasi sebenar.Selain itu, guru boleh mengadakan pusat  atau ruang untuk sudut mata pelajaran bagi mempamerkan segala alat bantu mengajar seperti carta, peta dan sebagainya.

Guru menggalakkan murid-murid menggunakan pelbagai bahan rujukan.Guru tidak boleh mengharapkan kepada buku teks sahaja.Guru perlu menggunakan pelbagai bahan  yang mempunyai unsur-unsur kreatif seperti bahan dari internet, komik, CD-ROM , bahan-bahan daripada akhbar dan bahan-bahan bacaan lain.Murid mesti digalakkan untuk menghasilkan ciptaan berdasarkan idea-idea dan minat sendiri.


4. 0     KRITIKAN

Teori Maslow tentang keperluan telah menerima kritikan.  Terdapat dua kelemahan teori motivasi Maslow.  Pertamanya tentang keperluan individu. Keperluan individu tidak selalunya mengikut susunan hierarki sepertimana yang telah dinyatakan di atas tadi.  Keduanya, keperluan seseorang murid berbeza kerana menjadi ketara mengikut tempoh atau masa sesuatu tugas dijalankan.  Walau bagaimanapun strategi Maslow membuat kategori keperluan, menentukan hierarki yang mustahak amat bermanfaat dalam meninggikan motivasi kerja.

 4.1) Teori kognitif Tentang Motivasi.
Penganut teori-teori  kognitif berpendapat bahawa individu bermotivasi apabila mereka mengalami keadaan ketidakseimbangan kognitif  atau satu keinginan mencari penyelesaian  kepada sesuatu masalah. Guru perlu menentukan muridnya mengalami keinginan mencari maklumat atau penyelesaian. Guru juga perlu memastikan pembelajaran berlaku.

 4.2) Teori Motivasi  Pencapaian.
Menurut teori  ini, pencapaian  seseorang individu cenderung untuk berjaya atau mencapai kejayaan ke aras yang paling tinggi.Pada masa yang sama, mereka akan mengelakan kemungkinan mengalami kegagalan.Apabila murid berjaya, mereka membina matlamat yang realistik bagi diri mereka dan kejayaan tersebut telah menguatkan keperluan untuk pencapaian selanjutnya.


5.0 PENUTUP

Sesuatu matlamat pada satu peringkat berjaya dicapai akan menimbulkan perasaan untuk memenuhi kepuasan pada peringkat yang lebih tinggi.  Oleh itu pendidik harus mengetahui langkah-langkah yang praktikal sejajar dengan diri seseorang pelajar demi  hendak memenuhi kehendak pelajar.  Dengan itu kepuasan belajar dalam keperluan motivasi boleh dicapai seterusnya menanamkan minat pelajar mengembangkan potensinya.

Jelaslah bahawa keperluan itu mempunyai matlamat yang mesti dicapai bagi memenuhkan keperluan tersebut.  Matlamat ini mempunyai nilai yang tertentu kepada seseorang mahupun seorang pelajar yang memerlukannya.  Teori Hiraki Maslow tegas memberi konsep bahawa perkembangan individu atau pelajar ini perlu melalui beberapa tingkat kepuasan atau dengan kata lain proses perkembangan individu itu merupakan satu usaha yang berterusan dalam persekitaran sosial sehingga mencapai kecemerlangan.
 Oleh itu bagi meninggikan atau mempertingkatkan lagi proses pengajaran    juga pembelajaran di dalam kelas, guru seharusnya peka dan bijak menentukan apa keperluan seseorang pelajar.  Dengan menyedari keperluan seseorang pelajar guru dapat mengatur strategi serta alternatif yang lebih praktikal demi kecemerlangan yang semaksimumnya.


BIBLIOGRAFI
1. Atan Long (1976).  Psikologi Pendidikan.  Kuala Lumpur :  Dewan Bahasa   dan Pustaka.
2. Drs. Wasty Soemato (1987), Psikologi Pendidikan, Jakarta,  PT Bina  Aksara. 
3. Lester D. Crow, Alice Crow (1980). Psikologi Pendidikan Untuk  Perguruan.  Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.
 4. Lingren (1959), Psychology of Personal and Social Adjustment, Second Edition, New York. American Book Company.
5. Mok Soon Sang (2000). Nota dan Latihan Ilmu Pendidikan : Pendidikan di Malaysia dan Psikologi Pendidikan 1. Kuala Lumpur : Kumpulan Budiman Sdn. Bhd.
6. Moustakas (1953), Children in Play Therapy, New York, McGraw-Hill Book Company. 
7. Rohaty Mohd. Majzud (1992), Psikologi Perkembangan,Kuala Lumpur, 
8. Saedah, Zainun, Tunku Mohani (1996).  Motivasi Dalam Pendidikan. Kuala  Lumpur : Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd..
9.  Sufean Hussain (1993). Pendidikan di Malaysia : Sejarah, Sistem dan  Falsafah.  Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka 

Isnin, 13 Februari 2012


Tersusun rata buah kelapa
Disusun rata si anak nyonya
Ada yang kata senama serupa
Ada yang kata lain sifatnya


 
Pantun pembukaan saya itu memberi gambaran pada beberapa pendapat yang berbeza terhadap apa itu dia yang dinamakan sebagai tombak dan lembing. Perbezaan pendapat ini berpusar pada pandangan yg diberikan pada penggunaan dua nama yang berbeza itu. Adakah nama yang berbeza itu menggambarkan perbezaan kegunaan yang juga berlainan diantara apa yang dinamakan sebagai tombak berbanding dengan apa yang dinamakan pula lembing? Ataupun perbezaan nama yang diberi itu hanyalah berasaskan kelainan kelaziman sebutan sahaja? Kelainan yang disebabkan kecenderongan bahasa dan loghat daerah atau suku kaum semata-mata?

Pertama sekali, apakah itu yang dinamakan tombak dan lembing ini? Bagaimanakah rupanya dan macam mana pula penggunaannya? Senjata yang dianamakan sebagai tombak/lembing ini adalah salah satu senjata khazanah warisan kita. Ianya merupakan sejenis senjata tikaman yang berbilah tajam. Bilahnya berbentuk mata yang meruncing dan yang selalunya dipasang pada batang pemegang yang kerap diperbuat dari kayu, buluh atau rotan yang panjang.
Di dalam olahan pra-sejarah, penggunaan senjata yang serupa dengan tombak/lembing ini sudah pun wujud semenjak zaman batu lagi. Dimana manusia di masa silam menggukan batang kayu yang panjang dan yang telah diruncingkan dan dikeraskan hujungnya melalui teknik pembakaran untuk memburu.binatang buas. Reka bentuk senjata ini telah diperkembangkan lagi dengan kaedah pemasangan mata runcing dari batu, buluh, tulang dan seterusnya besi tajam dihujungnya. Ianya adalah peralatan pilihan dikala memburu kerana kepanjangan batang tombak/lembing itu akan menjauhkan jarak antara si pemburu dan haiwan buruannya.

Tombak/lembing ini urutan perkembangan penggunaanya itu bermula sebagai senjata yang digunakan dengan kaedah merodok. Iaitu senjata itu dipegang pada batangnya dan hujungnya dirodok pada sasaran. Artifak arkeologi yang telah dijumpai menunjukkan bahwa senjata jenis ini pada mulanya tidak mempunyai ciri2 reka bentuk yang membolehkan ianya dilontarkan. Teknik pembuatannya adalah terlalu asas dan tidak menunjukkan pengkhususan reka bentuk untuk lontaran. Perkembangan ini cuma mula dilihat dengan adanya perubahan kebolehan minda jenis manusia yang datang terkemudian. Pada waktu itu barulah asas reka bentuknya mula menunjukkan mutu garapan yang lebih teliti dan yang berkhususan untuk kegunaan lontaran.
Perkembangan yang berasaskan kegunaan yang berbeza ini telah dapat dilihat di merata tempat dan diberbagai zaman. Jika di Eropah perbezaan ini nampak jelas dengan  penggunaan istilah Javelin untuk senjata lontaran dan Spear pula untuk senjata rodokkan. Di kebanyakan tempat di sana dan Benua asia tampak jelas perbezaan istilah yang digunakan untuk membezakan senjata panjang seperti ini yang khas penggunaannya untuk merodok berbanding dengan senjata yang penggunaannya  pula dikhaskan untuk melontar. Disinilah puncanya perbezaan pendapat yang saya nyatakan di atas tadi. Pandangan pertama mengatakan bahawa penggunaan yang khusus ini semestinya akan mendatangkan penggunaan istilah yang berbeza pula oleh kita juga. Dimana yang dilontar itu dilekatkan dengan nama lembing dan yang digunakan untuk merodok pula distilahkan sebagai tombak.

Apakah perbezaan reka bentuk untuk dua jenis penggunaan ini? Sejauh pengetahuan saya yang tidak seberapa ini, yang diistilahkan sebagai tombak itu selalunya bermatakan bilah yang lebih berkecondongan untuk melebar pada bahagian pangkal sebelum meruncing kembali pada hujungnya. Batangnya pula lurus dan ada pemasangan salutan besi dibahagian buntutnya yang adakalanya berbentuk bebola sebagai counter weight untuk memudahkan pengimbangannya apabila ianya dihunus si pengguna dengan menggunakan satu ataupun dua tangan. Tanpa counter weight ini maka tombak itu akan sukar dihalakan pada sasaran dengan stabil. Yang dikatakan lembing pula sering bermatakan bilah yang memanjang dan tidak pula melebar. Batangnya pula adakalanya meruncing di bahagian buntutnya dan tidak memerlukan pemasangan salutan besi. Kalaupun ada ianya hanya sedikit dan lebih untuk tujuan estetika atau untuk memelihara buntut lembing dari kerosakan dan tidak mempunyai keberatan yang seimbang dengan mata bilah. Ini semua memberikan apa yang dinamakan lembing itu ketrampilan rekabentuk yang lebih bercorak aerodinamik. Lembing itu juga mempunyai kelebihan  berat dibahagian batangnya yang lebih dekat dengan bilahnya. Ini ialah untuk memudahkan lembing itu untuk menjunam balik ke bumi dengan bilah matanya selalu kebawah setelah dilontar untuk meng-optimakan kemungkinan tusukan pada sasaran.
Pandagan kedua pula mengatakan bahwa perbezaan ini adalah perbezaan yang lebih banyak didapati di kawasan luar semenanjung ataupun nusantara secara keseluruhannya. Sebab yang diandaikan kepada saya dan yang saya fikirkan sendiri ialah persekitaran Nusantara yang bercorak tropika ini tidak memerlukan pengkhususan senjata jenis ini pada dua penggunaan yang berbeza. Ini ialah kerana persekitaran yang berhutan dan berbelukar itu tidak akan memberikan banyak kesempatan untuk penggunaan lontaran senjata ini pada jarak yang terlalu jauh. Ini berlainan sekali dengan pengunaan senjata jenis ini dipersekitaran padang pasir timur tengah, savannah Afrika atau dataran di benua Eropah atau steppes di Asia Utara dimana ruang alam yang lebih luas memerlukan kebolehan serangan dari jarak jauh sama ada untuk memburu atau berperang. Contohnya penggunaan seorang pemburu Habsyi yang telah dikhususkan untuk membunuh Saidina Hamzah yang telah berjaya dilakukan dengan lontaran lembing dari jarak jauh. Ini ialah kerana dikatakan begitu sahajalah beliau dapat ditewaskan kerana kegagahannya dan kerana beliau senang dikenal pasti dari jarak jauh kerana suka berperang dengan menggunakan hiasan bulu merak di pakaian kepalanya. Wallahualam.

Pendapat yang kedua ini mengandaikan bahawa bukannya perbezaan pengkhususan ini tidak diketahui kita. Akan tetapi kerana persekitaran alam itu yang tidak menimbulkan keperluan pengkhususan penggunaan yang genting, maka kecondongan penggunaan itu lebih bergantung pada kecondongan peribadi si pengguna. Iaitu kalau dia suka merodok, itulah ciri rekabentuk yang akan ada pada senjatanya dan kalau dia lebih gemar melontar itu pula rekabentuk yang akan wujud pula. Ataupun ianya mungkin bergantung pada penggunaan yang fleksibel dimana cara lontaran dan rodokan itu disenangi atau diperlukan kedua-duanya oleh sipengguna. Dan dengan itu pengembelingan kedua-dua ciri reka bentuknya itu diterapkan pada senjata yang digunakan itu supaya ianya boleh dipergunakan secara bertukar ganti bila-bila sahaja diperlukan. Seperti dalam lagenda “Lembing Awang Pulang ke Dayang” di mana lembing itu telah digunakan pada kali pertama dengan merodok dan setrusnya pula ia “berterbangan” dan menjunam mencari mangsa hingga 99 kali secara sendiri. Kerana tidak adanya pengkhususan penggunnaan ini, maka tidak adalah pula keperluan untuk perbezaan pada nama yang dilekatkan pada senjata itu. Oleh itu yang dikatakan lembing itu adalah juga tombak dan tombak itu juga adalah lembing. Perbezaan istilah hanya terjadi atas sebab kecondongan individu atau sebab loghat daerah yang tertentu. Untuk menukil kekata Haji Azman “Nyok di utara... Kelapa di selatan”.

Jadi, menakah satu yang betul? Adakah perbezaan diantara yang dikatakan lembing itu kalau diperbandingkan dengan apa yang dipanggil tombak? Secara peribadi, saya lebih condong pada pendapat pertama yang menganjurkan pendangan bahawa perbezaan pada nama itu wujud disebabkan pengkhususan penggunaannya yang berbeza antara teknik rodokan dan lontaran. Akan tetapi, saya rasakan pendapat kedua itu walaupun tidak menjadi pautan peribadi saya adalah satu sudut pantauan yang masih lagi berasas juga. Kerana dalam persekitaran alam yang tidak memerlukan penggunaan serangan jarak jauh yang keterlaluan keseimbangan kedua-dua teknik penggunaan ini perlu ada, dan pengembelingan kedua-dua teknik ini menyebabkan tiada perlunya perbezaan dibuat dalam penggunaan istilah. Jadi beza atau tidaknya pada nama itu bergantung pada pendangan mana yang kita akan terima.

http://suhaimibigg.multiply.com/journal/item/73/Tombak_dan_Lembing?&show_interstitial=1&u=%2Fjournal%2Fitem

Perbezaan Antara Tombak dan Lembing


Perbezaan antara tombak dan lembing daripada segi bentuknya dan kegunaannya, mata bilah tombak adalah lebar dan digunakan untuk pasukan tentera bergajah. Sebab itu pada hujung batang kayunya (bontot) tajam bertujuan untuk pasak ke tanah bagi menahan kemaraan tentera bergajah musuh, apabila gajah mara dan kena mata bilah tombak yang tajam maka gajah akan berundur dan mengucar ngacirkan keadaan disamping digunakan untuk membutakan mata haiwan tersebut.
Lembing pula adalah senjata yang digunakan sebagai senjata lontar, atau tikam, atau libas. lembing lebih ringan daripada tombak kerana sesuai untuk merejam. Tombak lebih berat dan kukuh untuk menahan beban. Biasanya lembing digunakan secara senyap (rahsia) untuk membunuh orang yang telah diisyaratkan semasa peperangan sedang berlaku dan kebiasaannya untuk membunuh panglima, atau mereka yang mengetuai peperangan (Raja atau Sultan). Begitulah secara ringkasnya penggunaan dan perbezaan antara kedua senjata ini iaitu tombak dan lembing. Sekian.

Ahad, 12 Februari 2012

PENEMUAN KOTA KAUM A’AD MEMBUKTIKAN MUKJIZAT AL-QURAN


Kota purba Iram menurut gambaran seorang pelukis.
Satu ketika dahulu, ramai ragu-ragu tentang kewujudan kaum A’ad seperti yang termaktub dalam al-Quran. Ketika ayat mengenai kehancuran kaum A’ad diturunkan, ramai terkejut dengan kedashyatan azab Allah terhadap kaum nabi Hud as tersebut. Namun, rata-rata umat Islam ketika itu langsung tidak tahu-menahu mengenai kaum yang disebut Allah swt sebagai kaum A’ad tersebut.
Bergitu juga apa yang dialami oleh kaum Yahudi yang menetap bersama-sama umat Islam di Madinah. Mereka mendengar desas-desus turunnya ayat tentang kaum A’ad tersebut. Dalam kitab suci mereka iaitu Taurat tidak langsung menceritakan kemusnahan kaum A’ad sedangkan kaum-kaum lain seperti kaum Lut as, kaum Nuh as dan sebagainya diceritakan dengan terperinci dalam kitab mereka. Berikutan itu, kaum Yahudi terus menyebarkan fitnah bahawa kaum A’ad sebenarnya tidak pernah wujud dan apa yang diberitakan dalam al-Quranul karim hanyalah omongan kosong yang langsung tidak berfakta.
Ternyata orang Yahudi silap
Tahun berganti tahun, abad berganti abad. Ramai orientalis mula datang ke tanah arab untuk mengkaji dan menyelidik kitab suci al-Quran, syair-syair dan cerita penglipur lara popular di tanah arab. Antara orientalis paling popular yang pernah datang ke tanah arab adalah T. E. Lawrence atau lebih dikenali dengan Lawrence of Arabia.
Lawrence of Arabia 
 
Lawrence of Arabia a.k.a T. E. Lawrence.
Kepada yang belum mengenali siapakah Lawrence of Arabia, beliau adalah orientalis yang bertanggungjawab menghasut pemimpin tanah arab untuk memberontak kepada kerajaan Turki Othmaniyyah sekitar tahun 1916-1918. Disebabkan hasutan dan dokongan daripada Lawrence of Arabia tersebut, tanah arab akhirnya bebas daripada menjadi jajahan Turki Othmaniyyah dan King Saud diangkat menjadi pemimpin besar tanah arab. Kerajaan baru yang ditubuhkan dikenali sebagai Arab Saudi. Dan kerajaan Arab Saudi kekal memerintah tanah arab sehingga ke hari ini. Lawrence of Arabia yang juga seorang Leftenan Kolonel tentera Diraja Britain meninggal dunia pada 19 Mei 1935 akibat kemalangan jalan raya. Ketika itu beliau berumur 45 tahun.

‘Jasa’ Lawrence of Arabia
Miskipun Lawrence of Arabia boleh dikatakan musuh di dalam selimut kepada umat Islam, namun jasanya kepada penemuan kota Iram yang dikatakan sebagai kota kaum A’ad tidak boleh disangkal. Beliau adalah insan pertama daripada Eropah yang sangat berminat dengan ‘Lost City’ Iram. Beliau yang hidup dengan cara orang Badwi dan kemampuannya berkomunikasi dalam bahasa Arab dengan fasih membuatkan cerita mengenai kemusnahan tamadun kaum A’ad mudah sampai ke telinganya.
Kota Iram yang dirakam oleh satelit NASA.
Kerana sangat berminat dengan kisah kaum A’ad dan kotanya yang memiliki tiang-tiang yang besar, Lawrence of Arabia telah mengelarnya dengan gelaran ‘Atlantis of the Sands’. Seperti kota Atlantis, kota Iram juga kelihatan mustahil untuk ditemui. Lawrence of Arabia juga tidak yakin apakah kota tersebut benar-benar wujud. Baginya, ia sekadar cerita dogeng yang terkandung dalam al-Quran.
Atlantis of the Sands
Sebenarnya, apa yang ditulis oleh Lawrence of Arabia mengenai kota Iram yang digelar beliau sebagai ‘the Atlantis of the Sands’ telah menarik minat beberapa ahli arkeologi daripada Eropah kemudian harinya. Mereka adalah Nicholas Clapp, George Hedges, Dr. Juris Zarins dan Ranulph Fiennes.
Pada akhir tahun 80-an dan awal 90-an, keempat-empat individu ini telah berusaha untuk mencari satu tamadun yang musnah sepertimana yang disifatkan dalam al-Quran. Rujukan utama keempat-empat mereka adalah berdasarkan al-Quranul karim dan cerita-cerita lisan daripada masyarakat Badwi.
Gambaran penulis mengenai kota Iram
Dr. Zarins yang bertindak sebagai ketua arkeologi dalam pencarian tersebut telah bersama-sama Nicholas Clapp dan George Hedges meminta NASA merakamkan gambar sekitar tempat yang dimaksudkan mempunyai potensi untuk dikaitkan dengan kota purba Iram yang telah musnah. Gambar tersebut telah dirakamkan menggunakan satelit NASA, SPOT(Satellite Pour I’Observation de la Terre). Rakaman tersebut mengejutkan mereka apabila ia jelas memaparkan laluan unta dan sebuah runtuhan kota purba yang kelihatan mengelilingi sebuah ‘runtuhan’ oasis.
Namun laluan perdagangan dan runtuhan kota purba tersebut tidak mampu dilihat jelas pada mata kasar. Imej tersebut telah dirakamkan di Rub’al Khali, Oman yang terletak di selatan Semenanjung Arab.
Sebuah runtuhan oasis
Pada 1992, eskavasi telah dimulakan. Daripada hasil penemuan arkeologi, mereka bersepakat bahawa ia adalah kota Iram yang musnah seperti yang dimaksudkan dalam al-Quran berdasarkan pentarikhan karbon menyatakan ia dibina sekitar 6,000 tahun sebelum masihi. Menurut mereka lagi, kota yang ditemui itu adalah salah satu kota yang dimiliki oleh kaum A’ad dan banyak lagi yang tenggelam dalam ‘lautan’ pasir.
Keajaiban al-Quran
Terdapat beberapa persamaan hasil penemuan arkeologi dengan ayat-ayat Allah swt yang menceritakan kisah kaum A’ad dan nabi Hud as. Antaranya adalah berkenaan dengan pembinaan tiang-tiang yang sangat tinggi yang mana tidak pernah dibina oleh sesiapa pun sebelumnya.
Di sekitar runtuhan kota Iram.
1. Tiang-tiang tinggi
Dalam al-Quran ada menyebut tentang kota Iram yang disifatkan mempunyai tiang-tiang yang tinggi,
6. Apakah kamu tidak memperhatikan bagaimana Tuhanmu berbuat terhadap kaum ’Aad? 7. (iaitu) penduduk Iram yang mempunyai bangunan-bangunan yang tinggi 8. yang belum pernah dibangun (suatu kota) seperti itu, di negeri-negeri lain,
Surah al-Fajr ayat 6-8
Firman Allah swt telah dapat dibuktikan melalui hasil penemuan arkeologi pada 1992. Clapp yakin bahawa yang kota purba yang ditemui adalah Iram berdasarkan kepada tapak-tapak tiang yang berbentuk segiempat sama. Dipercayai bahawa tiang-tiang yang dibina adalah 7 batang kesemuanya.

2. Membina Benteng-benteng

 
Kaum A’ad juga diriwayatkan membina benteng-benteng. Ia diceritakan Allah dalam surah as-Syu’araa’ ayat 128 sehingga 130.
128. Apakah kamu mendirikan pada tiap-tiap tanah tinggi bangunan untuk bermain-main 129. dan kamu membuat benteng-benteng dengan maksud supaya kamu kekal (di dunia)? 130. Dan apabila kamu menyeksa, maka kamu menyeksa sebagai orang- orang kejam dan bengis.
Surah as-Syu’araa’ ayat 128-130 
Sepertimana perihal tiang-tiang yang tinggi yang dibina oleh kaum A’ad, mereka juga turut membina benteng yang dianggarkan mempunyai tinggi lebih daripada 2 meter. Jika mengikut rekod arkeologi, tiada tamadun sekitar 6,000BC telah membina tembok atau benteng seperti yang dibina oleh kaum A’ad. Ia bertepatan dengan apa yang Allah swt bicarakan dalam Surah al-Fajr ayat 8.
3. Terdapat kebun-kebun dan mata air
133. Dia telah menganugerahkan kepadamu binatang-binatang ternak, dan anak-anak,134. dan kebun-kebun dan mata air,
Surah as-Syu’araa’ ayat 133-134
Mengenai perihal kebun-kebun dan mata air, ia dapat dibukti melalui penemuan oasis di tengah-tengah kota Iram. Penemuan oasis merupakan titik pertama sebelum penemuan Kota purba Iram. Mata air merupakan sumber utama kepada kemajuan kota Iram satu ketika dahulu. Kaum A’ad dikatakan mencari nafkah dengan mengembala binatang ternak dan juga berdagang. Oasis milik kaum A’ad masih lagi boleh dilihat sehingga ke hari ini.
Air daripada runtuhan oasis masih lagi boleh digunakan.
4. Dimusnahkan oleh angin kencang 
41. Dan juga pada (kisah) Aad ketika Kami kirimkan kepada mereka angin yang membinasakan,42. angin itu tidak membiarkan satupun yang dilaluinya, melainkan dijadikannya seperti serbuk.
Surah adz-Dzaariyaat ayat 41-42 
Dalam ayat Allah dalam surah adz-Dzaariyaat ini, angin kencang telah membinasa kaum A’ad yang sombong. Angin tersebut telah membinasakan seluruh masyarakat A’ad yang kufur terhadap Allah swt. Hasil arkeologi membuktikan bahawa runtuhan kota Iram bagaikan serbuk dan ia bertepatan benar dengan apa yang dimaksudkan Allah swt dalam ayat 42 surah adz-Dzaariyaat.
Penutup
Bagi ahli arkeologi, miskipun runtuhan tersebut sangat dashyat sehingga sukar untuk dilihat dengan mata kasar, ia bagaimanapun masih lagi mempunyai nilai yang sangat bermakna kerana dalam sudut yang lebih besar ia membukti al-Quran merupakan kalam Allah yang penuh mukjizat.
Kota yang dikatakan mustahil untuk ditemui ini akhir telah ditemui oleh seorang ahli arkeologi bukan muslim dan sepertimana yang diberitahu sebelum ini, rujukan utama mereka adalah al-Quran. Pembaca semua, ingatlah ayat Allah azza wa jalla ini,
Sesungguhnya pada kisah-kisah mereka itu terdapat pengajaran bagi orang-orang yang mempunyai akal. Al Quran itu bukanlah cerita yang dibuat-buat, akan tetapi membenarkan (kitab-kitab) yang sebelumnya dan menjelaskan segala sesuatu, dan sebagai petunjuk dan rahmat bagi kaum yang beriman.
Surah Yusuf ayat 111 
PERHATIAN:- Jika anda rasa kandungan ini patut disebarkan ke laman facebook dan twitter anda,sila klik butang kongsi di bawah ini. Apabila anda sebarkan kandungan ini anda dianggap sebagai pendakwah. Sesungguhnya seorang pendakwah itu akan mendapat ganjaran dari Ilahi..