Rabu, 19 Jun 2013

PSV3114 SENI & PENGURUSAN : PENGENALAN

SINOPSIS
Kursus ini meliputi kepentingan dan asas pengetahuan dalam projek seni, pengurusan dan proses pengendalian projek seni. Aktiviti amali meliputi merancang dan melaksanakan projek seni, membuat laporan maklum balas dan tindakan lanjutan.
DEFINISI SENI
Apa situ ‘ seni ’ ? Mengikut Kamus Dewan Edisi baru, seni didefinisikan sebagai karya (sajak, lukisan, muzik dan lain-lain) yang diciptakan dengan bakat, kebolehan mencipta sesuatu yang indah. Secara tidak langsung ia mengakui bahawa untuk menghasilkan sesuatu produk seni, bakat, kebolehan dan penghayatan serta pemahaman yang jitu amat penting. Kebolehan adalah sesuatu yang mampu dipelajari dan dibentuk manakala bakat pula adalah sesuatu yang berdiri dengan sendiri hasil daripada kurniaan Ilahi. Kedua-dua ini saling berkait rapat di dalam menghasilkan sesuatu produk seni yang mempunyai nilai estetika yang tinggi.
Dipandang daripada sudut agama, Imam Muslim melalui penulisan kitabnya, Kitab Al- Iman, menjelaskan tentang kesenangan estetik dan konsep keindahan sebagai pertemuan antara seseorang yang mempunyai pengetahuan terhadap mesej atau objek yang ditemui. Dalam erti kata lain, Muslim menjelaskan seni itu sebagai suatu bentuk ilmu (pengetahuan) di mana seseorang yang mempunyai ilmu ataupun pengetahuan seni tersebut akan mencipta serta melahirkan manifestasi pemikiran dan perasaannya terhadap sesuatu objek yang dihayatinya melalui karya-karya seni, ataupun setidak-tidaknya akan menghargai keindahan objek serta karya tersebut, sekiranya tidak mampu menghasilkan karya seni. Ini adalah kerana seni itu sendiri mempunyai pertalian erat di antara penggiat dan khalayak seni itu sendiri.
Menurut Herbert Read (buku, The Meaning of Arts) seni adalah penghasilan rupa bentuk yang menimbulkan keceriaan, keseronokan dan kesenangan estetik (Art is Expression).Kesenangan estetik di sini adalah merujuk kepada konsep kesenangan yang terhasil kesan oleh penghayatan terhadap keindahan seni visual. Kepuasan, kenikmatan, kesukaan dan kegembiraan juga termasuk di dalam kesenangan ini.
Kesimpulannya, biar dari sudut pandangan mana sekalipun, seni merupakan sesuatu yang berkait rapat dengan estetika dan keindahan. Keindahan yang mampu memukau dan mempersonakan mata dan hati yang menghayatinya dengan segenap pancaindera yang ada.
  http://colourexist.blogspot.com/2010/01/pengenalan-seni-definisi-seni-definisi.html
DEFINISI PENGURUSAN
Secara umumnya pengurusan boleh ditakrifkan sebagai satu seni bagi melaksanakan proses kerja yang terancang melalui dan dilaksanakan secara bersistematik, teratur dan mempunyai garis panduan tertentu.
Kata kerja mengurus (management) berasal dari bahasa Itali ‘maneggiare’ iaitu ‘menangani’ dan kata nama ini diterbitkan daripada perkataan Latin – ‘manus’ (tangan). Perkataan bahasa Perancis ‘mesnagement’ telah banyak mempengaruhi perkembangan maksud perkataan Bahasa Inggeris ‘management’ pada abad-abad ke 17 dan 18.
Merujuk kepada Ensiklopedia Bebas Wikipedia, ‘pengurusan terdiri daripada pengarahan dan pengawalan sebuah kumpulan yang terdiri daripada satu atau lebih orang atau entiti untuk tujuan menyelaraskan dan mengharmonikan kumpulan tersebut untuk mencapai sesuatu matlamat. Ia seringya merangkumi sumber – sumber manusia, kewangan, teknologi serta juga sumber semula jadi. Pengurusan juga boleh merujuk kepada seorang atau sekumpulan orang yang menjalankan fungsi pengurusan’.
Mary Parker Follet (1868 -1933) menyatakan bahawa pengurusan ‘adalah sebagai seni untuk mencapai sesuatu melalui orang lain’. Free-Content Encyclopedia Wikipedia menyatakan pengurusan boleh ditakrifkan berdasarkan fungsinya sebagai ‘tindakan untuk mengukur sesuatu kuantiti pada tempoh-tempoh yang tetap dan berdasarkan kepentingan, mengubahsuai rancangan asal ataupun tindakan untuk mencapai maklumat yang dirancang’.
James A.F Stoner & Charles Wienkel menyatakan bahawa ‘pengurusan adalah proses merancang, mengorganisasi , memimpin dan mengawal daya usaha anggota organisasi dan menggunakan sumber-sumber lain dalam organisasi bagi mencapai matlamat organisasi yang ditetapkan’.
Wan Azmi Ramli merumuskan pengurusan adalah aktiviti perancangan dan pergerakan atau panduan oleh sesuatu perusahaan atau organisasi berhubung dengan segala kaedah-kaedah, peraturan-peraturannya, juga tanggungjawab dan tugas-tugas kakitangannya itu.
Sejarah Awal Pengurusan
Secara umumnya sejarah pengurusan bermula seiring dengan perkembangan manusia dari sebuah keluarga yang besar dan membentuk sebuah perkampungan dan komuniti yang melibatkan pengurusan kawasan setempat dan akhirnya pembentukan dan pengurusan sebuah negara bangsa.
Mana-mana tamadun yang wujud di dunia pasti dikaitkan dengan sistem pentadbiran dan kaedah pemerintahan yang membolehkan ketua negara dan dinastinya meneruskan kesinambungan sebuah tamadun hingga ke saat akhirnya. Dengan adanya sistem pengurusan mereka mampu menguruskan perbendaharaan serta mengawal hasil mahsul negara, mengekalkan keadilan dengan pengurusan sistem dan badan kehakiman dan pengurusan ke atas upacara keagamaan atau adat istiadat rasmi di istana.
Seawal 8000 SM para paderi dari Ur telah menyimpan rekod aktiviti perniagaan, rekod lain dan peraturan pengurusan di atas kepingan tanah liat yang dibakar. Tamadun Sumeria mempunyai sistem demokrasi yang amat tersusun berdasarkan teks-teks yang ditemui di Telloh (Lagash) dab Fara (Shurappak). Sumber tenaga kerja didaftarkan dan kemudian dibahagi-bahagikan dalam pelbagai badan awam. (Sivachandralingam & Ayadurai)
 
Raja Hammurabi dari Babylon pula memperkenalkan kod Hammurabbi yang mengandungi 285 undang-undang yang turut merangkumi perkara-perkara yang berkaitan dengan peraturan pengurusan, perdagangan dan kewangan.
Di Mesir, dinasti yang memerintah kerajaan Mesir Tua dengan diketuai oleh Fir’aun dan pembesar-pembesarnya menyimpan rekod pengurusan pembinaan pyramid, sphinx dan pelbagai kompleks makam mereka di atas daun papyrus yang telah diproses. Pembinaan piramid setinggi 20 hingga 25 tingkat dengan 2.5 juta blok batu ini memerlukan sistem pengurusan yang cekap dan sistematik untuk menguruskan kira-kira 100 000 orang pekerja setiap masa.
Sistem pengurusan Negara kota dalam Tamadun Yunani pula mempamerkan sistem pentadbiran Negara yang tersusun. Plato mengutarakan pendapatnya dalam bukunya ‘Law’, bahawa setiap kota secara idealnya mempunyai 5040 orang. Athens yang merupakan salah satu negara kota Yunani yang terkenal ditadbir berdasarkan sistem ala republik. Pemerintahan Athens dikendalikan oleh 3 buah institusi iaitu Dewan Perhimpunan, Majlis, Majistret & Juri. (Sivachandralingam & Ayadurai)
Maharaja Diolectian dari Rom (248M) telah menyusun semula pentadbiran Rom bagi membolehkannya mengawal keseluruhan empayar Rom yang luas dan terbentang dari Asia Barat hingga ke Eropah. Melalui kaedah pengurusannya, beliau membahagi-bahagikan empayarnya kepada beberapa daerah dan diketuai oleh seorang gabenor. Gabenor ini diberikan kuasa pemerintahan yang melibatkan hal-ehwal awam kecuali kuasa ketenteraan dan model Diolectian ini mirip sistem organisasi dan kerajaan berpusat (Jaafar, Mohd Hizam & Zafir).
SENI & PENGURUSAN
  1. Mengurus dan mengendali aktiviti/projek seni 2-dimensi atau 3-dimensi dengan pertimbangan pelbagai kekangan kewangan, masa tenaga manusia, bahan, peralatan dan kaedah.
  2.  Mengaplikasi pengetahuan pembelajaran melalui projek mengikut prosedur dan tata cara terhadap projek seni visual.
  3. Memupuk nilai kerjasama, bertimbang rasa, keyakinan diri dikalangan ahli-ahli kumpulan dalam mengurus dan mengendalikan sesuatu projek seni.
  4. Mengendalikan projek seni dengan melibatkan masyarakat setempat. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan