Disusun rata si anak nyonya
Ada yang kata senama serupa
Ada yang kata lain sifatnya
Pantun pembukaan saya itu memberi gambaran pada beberapa pendapat yang berbeza terhadap apa itu dia yang dinamakan sebagai tombak dan lembing. Perbezaan pendapat ini berpusar pada pandangan yg diberikan pada penggunaan dua nama yang berbeza itu. Adakah nama yang berbeza itu menggambarkan perbezaan kegunaan yang juga berlainan diantara apa yang dinamakan sebagai tombak berbanding dengan apa yang dinamakan pula lembing? Ataupun perbezaan nama yang diberi itu hanyalah berasaskan kelainan kelaziman sebutan sahaja? Kelainan yang disebabkan kecenderongan bahasa dan loghat daerah atau suku kaum semata-mata?
Di dalam olahan pra-sejarah, penggunaan senjata yang serupa dengan tombak/lembing ini sudah pun wujud semenjak zaman batu lagi. Dimana manusia di masa silam menggukan batang kayu yang panjang dan yang telah diruncingkan dan dikeraskan hujungnya melalui teknik pembakaran untuk memburu.binatang buas. Reka bentuk senjata ini telah diperkembangkan lagi dengan kaedah pemasangan mata runcing dari batu, buluh, tulang dan seterusnya besi tajam dihujungnya. Ianya adalah peralatan pilihan dikala memburu kerana kepanjangan batang tombak/lembing itu akan menjauhkan jarak antara si pemburu dan haiwan buruannya.
Tombak/lembing ini urutan perkembangan penggunaanya itu bermula sebagai senjata yang digunakan dengan kaedah merodok. Iaitu senjata itu dipegang pada batangnya dan hujungnya dirodok pada sasaran. Artifak arkeologi yang telah dijumpai menunjukkan bahwa senjata jenis ini pada mulanya tidak mempunyai ciri2 reka bentuk yang membolehkan ianya dilontarkan. Teknik pembuatannya adalah terlalu asas dan tidak menunjukkan pengkhususan reka bentuk untuk lontaran. Perkembangan ini cuma mula dilihat dengan adanya perubahan kebolehan minda jenis manusia yang datang terkemudian. Pada waktu itu barulah asas reka bentuknya mula menunjukkan mutu garapan yang lebih teliti dan yang berkhususan untuk kegunaan lontaran.
Perkembangan yang berasaskan kegunaan yang berbeza ini telah dapat dilihat di merata tempat dan diberbagai zaman. Jika di Eropah perbezaan ini nampak jelas dengan penggunaan istilah Javelin untuk senjata lontaran dan Spear pula untuk senjata rodokkan. Di kebanyakan tempat di sana dan Benua asia tampak jelas perbezaan istilah yang digunakan untuk membezakan senjata panjang seperti ini yang khas penggunaannya untuk merodok berbanding dengan senjata yang penggunaannya pula dikhaskan untuk melontar. Disinilah puncanya perbezaan pendapat yang saya nyatakan di atas tadi. Pandangan pertama mengatakan bahawa penggunaan yang khusus ini semestinya akan mendatangkan penggunaan istilah yang berbeza pula oleh kita juga. Dimana yang dilontar itu dilekatkan dengan nama lembing dan yang digunakan untuk merodok pula distilahkan sebagai tombak.
Apakah perbezaan reka bentuk untuk dua jenis penggunaan ini? Sejauh pengetahuan saya yang tidak seberapa ini, yang diistilahkan sebagai tombak itu selalunya bermatakan bilah yang lebih berkecondongan untuk melebar pada bahagian pangkal sebelum meruncing kembali pada hujungnya. Batangnya pula lurus dan ada pemasangan salutan besi dibahagian buntutnya yang adakalanya berbentuk bebola sebagai counter weight untuk memudahkan pengimbangannya apabila ianya dihunus si pengguna dengan menggunakan satu ataupun dua tangan. Tanpa counter weight ini maka tombak itu akan sukar dihalakan pada sasaran dengan stabil. Yang dikatakan lembing pula sering bermatakan bilah yang memanjang dan tidak pula melebar. Batangnya pula adakalanya meruncing di bahagian buntutnya dan tidak memerlukan pemasangan salutan besi. Kalaupun ada ianya hanya sedikit dan lebih untuk tujuan estetika atau untuk memelihara buntut lembing dari kerosakan dan tidak mempunyai keberatan yang seimbang dengan mata bilah. Ini semua memberikan apa yang dinamakan lembing itu ketrampilan rekabentuk yang lebih bercorak aerodinamik. Lembing itu juga mempunyai kelebihan berat dibahagian batangnya yang lebih dekat dengan bilahnya. Ini ialah untuk memudahkan lembing itu untuk menjunam balik ke bumi dengan bilah matanya selalu kebawah setelah dilontar untuk meng-optimakan kemungkinan tusukan pada sasaran.
Pandagan kedua pula mengatakan bahwa perbezaan ini adalah perbezaan yang lebih banyak didapati di kawasan luar semenanjung ataupun nusantara secara keseluruhannya. Sebab yang diandaikan kepada saya dan yang saya fikirkan sendiri ialah persekitaran Nusantara yang bercorak tropika ini tidak memerlukan pengkhususan senjata jenis ini pada dua penggunaan yang berbeza. Ini ialah kerana persekitaran yang berhutan dan berbelukar itu tidak akan memberikan banyak kesempatan untuk penggunaan lontaran senjata ini pada jarak yang terlalu jauh. Ini berlainan sekali dengan pengunaan senjata jenis ini dipersekitaran padang pasir timur tengah, savannah Afrika atau dataran di benua Eropah atau steppes di Asia Utara dimana ruang alam yang lebih luas memerlukan kebolehan serangan dari jarak jauh sama ada untuk memburu atau berperang. Contohnya penggunaan seorang pemburu Habsyi yang telah dikhususkan untuk membunuh Saidina Hamzah yang telah berjaya dilakukan dengan lontaran lembing dari jarak jauh. Ini ialah kerana dikatakan begitu sahajalah beliau dapat ditewaskan kerana kegagahannya dan kerana beliau senang dikenal pasti dari jarak jauh kerana suka berperang dengan menggunakan hiasan bulu merak di pakaian kepalanya. Wallahualam.
Pendapat yang kedua ini mengandaikan bahawa bukannya perbezaan pengkhususan ini tidak diketahui kita. Akan tetapi kerana persekitaran alam itu yang tidak menimbulkan keperluan pengkhususan penggunaan yang genting, maka kecondongan penggunaan itu lebih bergantung pada kecondongan peribadi si pengguna. Iaitu kalau dia suka merodok, itulah ciri rekabentuk yang akan ada pada senjatanya dan kalau dia lebih gemar melontar itu pula rekabentuk yang akan wujud pula. Ataupun ianya mungkin bergantung pada penggunaan yang fleksibel dimana cara lontaran dan rodokan itu disenangi atau diperlukan kedua-duanya oleh sipengguna. Dan dengan itu pengembelingan kedua-dua ciri reka bentuknya itu diterapkan pada senjata yang digunakan itu supaya ianya boleh dipergunakan secara bertukar ganti bila-bila sahaja diperlukan. Seperti dalam lagenda “Lembing Awang Pulang ke Dayang” di mana lembing itu telah digunakan pada kali pertama dengan merodok dan setrusnya pula ia “berterbangan” dan menjunam mencari mangsa hingga 99 kali secara sendiri. Kerana tidak adanya pengkhususan penggunnaan ini, maka tidak adalah pula keperluan untuk perbezaan pada nama yang dilekatkan pada senjata itu. Oleh itu yang dikatakan lembing itu adalah juga tombak dan tombak itu juga adalah lembing. Perbezaan istilah hanya terjadi atas sebab kecondongan individu atau sebab loghat daerah yang tertentu. Untuk menukil kekata Haji Azman “Nyok di utara... Kelapa di selatan”.
Jadi, menakah satu yang betul? Adakah perbezaan diantara yang dikatakan lembing itu kalau diperbandingkan dengan apa yang dipanggil tombak? Secara peribadi, saya lebih condong pada pendapat pertama yang menganjurkan pendangan bahawa perbezaan pada nama itu wujud disebabkan pengkhususan penggunaannya yang berbeza antara teknik rodokan dan lontaran. Akan tetapi, saya rasakan pendapat kedua itu walaupun tidak menjadi pautan peribadi saya adalah satu sudut pantauan yang masih lagi berasas juga. Kerana dalam persekitaran alam yang tidak memerlukan penggunaan serangan jarak jauh yang keterlaluan keseimbangan kedua-dua teknik penggunaan ini perlu ada, dan pengembelingan kedua-dua teknik ini menyebabkan tiada perlunya perbezaan dibuat dalam penggunaan istilah. Jadi beza atau tidaknya pada nama itu bergantung pada pendangan mana yang kita akan terima.
http://suhaimibigg.multiply.com/journal/item/73/Tombak_dan_Lembing?&show_interstitial=1&u=%2Fjournal%2Fitem
Tiada ulasan:
Catat Ulasan