POLIGAMI
Poligami ialah amalan berkahwin lebih dari seorang wanita. Amalan ini sering dikaitkan oleh musuh-musuh Islam sebagai bahan untuk memburuk-burukkan dan merendah-rendahkan agama yang suci ini. Monogami pula ialah amalan berkahwin dengan seorang wanita sahaja.
MENGAPA HANYA EMPAT ISTERI?
Sebelum kedatangan Islam, banyak kaum dari pelbagai bangsa yang membenarkan umatnya mengahwini lebih dari seorang wanita. Dan bilangan yang dibenarkan pula tidak menentu, bahkan ada yang mengahwini hingga berpuluh-puluh dan beratus-ratus wanita.
Kemudian datanglah Islam membawa keadilan dan kesederhanaan dengan menetapkan tahap maksima empat orang isteri sahaja dalam satu masa. Ini dapat dibuktikan dengan beberapa buah hadis, di mana Ghailan al-Thaqafi ketika memeluk Islam ada bersamanya sepuluh orang isteri, Qais mempunyai lapan orang isteri dan Naufal pula lima orang isteri. Kemudian Rasulullah s.a.w. memerintahkan agar memilih empat orang darinya sahaja.
Bilangan empat orang isteri bila ditinjau dari sudut lain pula amatlah bersesuaian dengan kemampuan seorang lelaki, di mana setiap seorang dari empat orang isterinya itu mengalami pusingan haidh seminggu setiap bulan. Di samping itu juga dengan empat orang isteri sudah cukup untuk menegah seorang lelaki dari melakukan perkara-perkara yang menyimpang dari syariat Islam, termasuklah perbuatan menyimpan perempuan-perempuan jalang untuk memenuhi kehendak nafsunya.
Manakala bilangan yang melebihi dari empat pula, adalah dikhuatiri akan berlaku zalim oleh lelaki terhadap kaum wanita dengan kurangnya kemampuan memberikan hak-hak yang telah diwajibkan, samada hak pembahagian, nafkah atau jimak.
Kesimpulan yang dapat diambil ialah, bilangan empat adalah suatu bilangan yang adil dan sederhana. Ia dapat memelihara kaum wanita dari penganiayaan dan penindasan.
HIKMAT POLIGAMI
Menurut Dr. Yusof al-Qadhawi, bahawa sesungguhnya Islam adalah kalimah Allah yang terakhir di mana dengannya merupakan penutup segala risalah nabi-nabi sebelumnya. Oleh itu syariat Islam didatangkan secara menyeluruh dan abadi untuk seluruh manusia di pelusuk dunia. Ia tidak disyariatkan hanya untuk orang yang bertamadun sahaja dengan melupakan orang-orang kampung, atau untuk negara yang beriklim sejuk dengan melupakan yang beriklim panas, atau khusus untuk satu abad tertentu dengan meninggalkan abad dan jenarasi yang lain.
Sesungguhnya syariat Islam amat bersesuaian dengan setiap individu atau kumpulan, serta mampu memenuhi kehendak dan keperluan mereka semua.
Sebahagian dari manusia mempunyai keinginan yang kuat untuk memperoleh anak tetapi dia telah dikurniakan dengan seorang isteri yang tidak mampu melahirkan, kerana sakit atau sebagainya. Jadi, apakah bukan suatu kemuliaan bagi isteri dan suatu kebaikan bagi suami seandainya dia berkahwin dengan seorang wanita lain yang mampu melahirkan dengan mengekalkan isteri pertama serta diberi jaminan terhadap hak-haknya?
Sebahagian lelaki pula mempunyai keinginan syahwat seks yang terlalu kuat, tetapi dia telah dikurniakan dengan seorang isteri yang rendah keinginannya terhadap lelaki, samada kerana sakit atau mempunyai tempoh haidh yang agak lama. Dalam masalah ini lelaki tidak dapat menahan kesabarannya terhadap wanita. Dalam keadaan begini salahkah jika dia mengahwini seorang lagi perempuan secara halal sebagai ganti dari perempuan yang disimpannya secara haram?
Begitu juga, kadangkala bilangan wanita melebihi bilangan lelaki, lebih-lebih lagi ketika berlakunya peperangan yang banyak meragut nyawa kaum lelaki. Di sinilah maslahat sosial dan maslahat wanita itu sendiri perlu di dahulukan agar mereka tidak hidup sepanjang hayat dalam keadaan membujang tersisih dari satu kehidupan berumahtangga, di mana di dalamnya terdapat ketenteraman, kasih sayang, nikmat keibuan dan memenuhi seruan naluri yang sentiasa memanggilnya.
Dalam menghadapi masalah bilangan wanita berlebihan dari lelaki, terdapat tiga jalan penyelesaiannya, iaitu:
1. Wanita-wanita tersebut menghabiskan usianya dalam kepahitan kerana tidak memenuhi kehendak nalurinya.
2. Mereka memenuhi kehendak jiwa dengan mendampingi lelaki-lelaki secara haram.
3. Membenarkan mereka mengahwini lelaki-lelaki yang telah berumahtangga yang mampu memberi nafkah dan kasih sayang.
Tidak syak lagi, bahawa jalan terakhir ini adalah cara yang halal dan adil.
Dr. Wahbah al-Zuhaili pula ketika membicarakan mengenai hikmat berpoligami telah membahagikan sebab pengharusan syariat ini kepada dua, iaitu:
1. Sebab Umum, iaitu mengatasi masalah bilangan perempuan yang melebihi bilangan lelaki. Rentetan dari masalah ini timbul pula masalah lain, iaitu perlunya penambahan rakyat sesebuah negara untuk pelbagai tugas termasuk dalam bidang peperangan, pertanian dan perindustrian.
2. Sebab khusus, iaitu yang datangnya dari pihak perempuan seperti kemandulan, sakit dan sebagainya, atau dari pihak lelaki seperti mempunyai nafsu seks yang terlalu kuat dan seumpamanya.
Syed Sabiq pula telah menyatakan tentang hikmat berpoligami dengan panjang lebar. Antara yang di perkatakan oleh beliau ialah:
1. Merupakan rahmat dari Allah Taala.
2. Memperbanyakkan rakyat agar negara menjadi kuat dengan ramainya tenaga pakar dalam pelbagai teknologi. Dengan kekuatan ini, maka risalah Islam dapat disebarkan kepada seluruh manusia.
3. Melindungi janda-janda yang kematian suami ketika mempertahankan negara.
4. Sebagai jalan penyelesaian ketika menghadapi masalah kekurangan lelaki.
5. Mengatasi masalah wanita tidak dapat melakukan hubungan jenis ketika berada dalam tempoh haidh selama seminggu, tempoh melahirkan serta nifas selama 40 hari dan selepas usia putus haidh iaitu sekitar 45 atau 50 tahun. Sedangkan lelaki sentiasa dalam keadaan terbuka untuk melakukan hubungan seks sejak usia baligh sehingga mencecah usia tuanya.
6. Pengambilan syariat poligami dalam negara-negara Islam merupakan satu kebaikan yang amat besar di dalam mengekalkan bersihnya imej negara dari gejala-gejala keruntuhan nilai sosial dan hilangnya akhlak genarasi. Dapat dilihat bagaimana kesannya terhadapa masyarakat yang telah mengharamkan poligami:
i. Tersebarnya kefasikan dan kerosakan, sehingga bilangan pelacur lebih ramai dari bilangan mereka yang bersuami.
ii. Hasil dari masalah ini, ramailah lahir anak-anak haram. Di Amerika Syarikat setiap tahun seramai 100 ribu anak haram dilahirkan.
iii. Hasil dari perhubungan yang keji ini maka menularlah pelbagai penyakit fizikal dan mental.
iv. Mengalir unsur-unsur kelemahan dan ketidakupayaan di dalam jiwa.
v. Renggangnya hubungan suami isteri serta porak peranda institusi keluarga.
vi. Luput nasab yang sah, sehingga seorang suami tidak dapat memastikan dengan tepat apakah anak yang dibela itu adalah dari benihnya.
SYARAT-SYARAT POLIGAMI
Islam mengharuskan poligami dengan mengenakan dua syarat utama iaitu:
1. Dapat bersikap adil terhadap isteri-isterinya. Maksud adil di sini ialah keadilan yang mampu digapai oleh manusia, iaitu penyamarataan dari sudut material samada nafkah, pergaulan yang baik dan tempat tinggal.
Bukanlah yang dimaksudkan dengan adil disini penyamarataan dari sudut perasaan, cinta dan kecenderungan hati. Kerana perkara ini tidak mampu dilakukan oleh seseorang.
2. Kemampuan memberi nafkah. Syarak tidak membenarkan perkahwinan seorang lelaki yang ternyata tidak mampu memberi nafkah kepada isterinya, samada isterinya itu seorang, dua, tiga atau empat.
KEIZINAN DARI KADHI ATAU HAKIM UNTUK BERPOLIGAMI
Terdapat beberapa buah negara yang memperuntukkan dalam undang-undang keluarganya yang menegah seseorang suami berkahwin lebih dari seorang kecuali setelah mendapat keizinan dari kadhi atau mahkamah. Pengizinan akan diberikan setelah benar-benar dipastikan bahawa suami berkenaan akan berlaku adil dan berkemampuan memberi nafkah.
Syeikh Zakiuddin Sya'ban di dalam al-Ahkam al-Syar'iyah lil-Ahwal al-Syakhsiah telah mengkritik undang-undang ini, antaranya ialah:
1. Syarat yang dikenakan oleh Allah Taala terhadap syarat-syarat poligami hanya kepada sesiapa yang berkeinginan untuk berpoligami sahaja.
Jika kamu takut tidak akan dapat berlaku adil, maka (kahwinilah seorang sahaja) – (al-Nisaa’:3)
Jelas di sini bahawa firman ini hanya ditujukan kepada mereka yang berkeinginan berpoligami, bukan kepada orang lain samada kadhi, hakim atau mahkamah. Dan membuat penilaian terhadap rasa takut tidak berlaku adil oleh pihak selain dari suami adalah menyalahi nas al-Quran ini.
Begitu juga dengan penelitian terhadap kemampuan memberi nafkah, nas syarak hanya menghalakannya kepada pihak yang berkeinginan untuk berpoligami atau berkahwin sahaja. Sabda Rasulullah s.a.w.:
"Wahai para pemuda! Barangsiapa yang mampu mengeluarkan belanja perkahwinan hendaklah dia berkahwin....."
2. Penyelengaraan kadhi terhadap perkara-perkara peribadi adalah sesuatu yang sia-sia, kerana kadangkala dia tidak dapat membongkar sesuatu yang sebenarnya. Kebiasaannya, manusia akan menyembunyikan kebiasaan-kebiasaannya untuk tujuan poligami. Seandainya kadhi dapat membongkar hakikat sebenarnya, maka ini bermakna dia telah membongkar rahsia kehidupan sebuah rumahtangga dan campur tangan atau mengganggu kebebasan manusia. Lagi pula, seorang kadhi telah membuang masa dengan menangani kes-kes seperti ini yang mana sepatutnya masa itu digunakan untuk kes-kes lain. Dia menegah dan memerintahkan sesuatu yang tidak kena pada tempatnya.
Perkahwinan adalah masalah peribadi yang tidak boleh dicampuri oleh orang lain. Ia terlaksana dengan kesepakatan dari kedua belah suami isteri dan pihak wali wanita.
3. Poligami tidaklah berlaku sehingga ke peringkat begitu dikhuatirkan. Apa yang berlaku adalah sebaliknya, terbatas dan amat jarang sekali. Pada tahun 50an, di Mesir dan Libya hanya 4%, dan di Syiria 1% sahaja. Dari nisbah ini, maka tidak perlulah digubal undang-undang yang khusus untuknya. Bahkan jika telah termaktub, ia tidak akan memberi apa-apa perubahan. Kerana untuk mengatasi masalah ini, bergantung kepada sejauh mana pengamalan agama di dalam diri setiap individu.
4. Seperti yang disangkakan, poligami bukanlah punca berlakunya tragedi anak-anak lari dari rumah (rumahtangga porak-peranda). Sebenarnya, yang menjadi punca utamanya ialah kelalaian ibubapa mendidik anak-anak dengan sempurna, gejala penagihan arak dan dadah, judi dan mengabaikan hal-hal rumahtangga.
Dan masalah anak lari dari rumah yang disebabkan oleh poligami pada tahun 50an hanya dalam kadar 5% sahaja, dan punca utama dari masalah ini pada hakikatnya adalah kemiskinan.
Terdapat dua perkara untuk mengatasi pengabaian tanggungjawab setelah berpoligami, iaitu:
1. Mendidik jenarasi dengan didikan agama serta akhlak yang mulia, sehingga sepasang suami isteri dapat merasakan kukuhnya ikatan suci yang mereka bina serta dapat menumpukan terhadap asas kasih sayang yang dianjurkan oleh al-Quran.
2. Menghukum suami yang menzalimi atau tidak memberi hak-hak kepada isterinya, atau mengabaikan tugas mendidik salah seorang dari anak-anaknya sebagaimana yang telah diwajibkan.
Syed Sabiq di dalam Feqh al-Sunnah juga ada memberikan krtitikannya terhadap masalah poligami yang perlu diteliti terlebih dahulu oleh kadhi dari sudut kemampuan memberi keadilan dan nafkah.
Beliau berkata, kehidupan berkeluarga memerlukan nafkah yang besar, dan semakin ramai bilangan keluarga dengan berpoligami semakin bertambahlah nafkah yang perlu dibelanjakan. Perkara ini amat membebankan suami, dan lemahlah dia dari memberikan nafkah keluarga dan mendidik mereka agar menjadi insan yang soleh serta mampu bangkit memikul beban kehidupan dan liku-likunya. Apabila perkara ini terjadi, maka akan tersebarlah kejahilan, kerosakan dan wabak kemungkaran.
Kemudian, pada hari ini seorang lelaki tidak akan berkahwin lebih dari seorang kecuali hanya untuk melepaskan nafsu syahwat mereka atau kerana kerakusan mereka terhadap harta benda. Dia sudah tidak mengendahkan lagi hikmat poligami serta maslahah yang melatarinya. Ramai yang mencabuli hak-hak isteri dan anak-anak mereka. Darinya, terjadilah pertelingkahan antara keluarga yang berantai-rantaian sehingga ada yang sanggup berbunuhan.
Perkara di atas adalah sebahagian dari kesan poligami, dan ia telah di jadikan sebagai bukti perlunya penelitian dari kadhi sebelum dibenarkan berpoligami.
Dan mengenai masalah ini Syed Sabiq memberikan jawapan, bahawa jalan penyelesaian mengenai masalah di atas bukanlah dengan bertindak menegah sesuatu yang telah dihalalkan oleh Allah. Cara yang betul ialah dengan pengajaran dan pendidikan serta memberi kefahaman kepada manusia tentang hukum-hakam agama.
Lihat saja, bagaimana manusia telah dibenarkan mengecapi makanan dan minuman tanpa melebihi hadnya. Jika dia berlebihan di dalam makan dan minumnya, maka penyakit akan menghinggapinya. Dalam keadaan ini, makanan dan minuman tidak boleh disalahkan, tetapi sikap berlebihan dan pelahap itulah yang perlu disalahkan. Dan untuk mengatasi masalah ini, bukanlah dengan cara menegah orang dari makan dan minum, tetapi dengan mengajarnya adab-adab yang patut dijaga semasa makan agar terhindar dari penyakit.
Sesungguhnya orang yang beranggapan bahawa poligami tidak dibenarkan kecuali setelah mendapat keizinan dari kadhi dengan bersandarkan realiti yang berlaku tentang kesan negatif poligami merupakan orang-orang yang jahil atau pura-pura tidak mengerti tentang mara bahaya hasil dari pengharaman poligami. Mara bahaya hasil dari pengharusan poligami adalah lebih rendah atau lebih ringan jika dibandingkan dengan mara bahaya hasil dari pengharaman poligami. Oleh itu wajiblah menjaga yang lebih berat kemerbahayaan dari keduanya dengan cara mengharuskan yang lebih ringan.
Merealisasikan perkara ini (poligami dengan izin kadhi) bermakna menyerahkan kepada kadhi suatu perkara yang tidak boleh ditetapkan. Kerana tiada satupun neraca syarak yang memungkinkan seseorang mengetahui keadaan dan tingkah laku manusia. Bahkan kadangkala mudharatnya lebih hampir dari manfaatnya.
Orang-orang Islam dari dahulu sehingga kini telah mengamalkan poligami, dan tidak pernah sampai kepengetahuan kita bahawa mereka mengharamkannya atau membenarkannya setelah diteliti oleh kadhi. Kita perlu membenarkannya sebagaimana mereka telah membenarkannya. Dan tidak selayaknya bagi kita menyempitkan Rahmat Allah yang maha luas.
***** Berdasarkan penjelasan di atas, saya kira soalan saudara telahpun berjawab, dengan disertai beberapa pengetahuan dan nasihat lain yang berguna mengenai poligami.
Jelasnya, berpoligami asal hukumnya adalah dibolehkan (jaiz), bukannya wajib. Cuma, dari hukum harus ini akan bertukar menjadi hukum lain – wajib, sunat, makruh dan haram. Ia adalah hukum yang mendatang, bukan hukum asal. Contohnya, jika seseorang itu sememangnya sudah tahu (dan pada realitinya begitu) tidak berkemampuan untuk berlaku adil terhadap isteri-isterinya nanti, maka ketika itu haram hukumnya berpoligami.
Contoh lain, jika seseorang itu mampunyai nafsu seks yang kuat, sehingga jika dia tidak berpoligami kemungkinan untuk terjebak ke lembah perzinaan adalah besar. Maka ketika itu dia wajib berpoligami (setelah memenuhi syarat-syaratnya).
Dan untuk mendapat pengetahuan lain yang berhubung kait dengan masalah poligami (giliran bersama isteri-isteri) sila rujuk jawapan soaljawab 18.
Wallahu a'lam
Kunjungi lagi Al-ahkam online.
Rujukan 1. Al-Mughni al-Muhtaj, Syeikh Muhamad al-Khatib al-Syarbini 2. Feqh al-Sunnah, Syed Sabiq 3. Al-Feqh al-Islami saya Adillatuh, Dr Wahabh al-Zuhaili 4. Dr Yusof al-Qardhawi, al-Halal Wal Haram Fil Islam |
|
Tiada ulasan:
Catat Ulasan