Reka Bentuk Pembungkusan Menurut Model VIEW
Ciri-ciri pada sesuatu reka bentuk pembungkusan dapat menunjukkan kepada pengguna sama ada produk tersebut dapat membantu memenuhi kehendak yang ingin dicapai (Olson dan Reynolds, 2001). Jika sesuatu produk tidak memenuhi kehendak pengguna, produk tersebut akan diasingkan dari pilihan dan tidak akan dibeli. Secara umumnya, pengguna melihat sesuatu produk sebagai satu penyelesaian masalah bagi memenuhi kehendak mereka (Whaling, 2007). Kegagalan memenuhi keperluan pengguna akan menyebabkan persepsi negatif dan pengguna akan mengabaikan produk tersebut (Beverland, 2006). Ciri-ciri reka bentuk pembungkusan yang mempengaruhi pemilihan pengguna dapat dilihat berdasarkan Model VIEW (Shimp, 2003). Model VIEW merupakan singkatan daripada Visibility, Information, Emotional Appeal dan Workability. Model ini mengariskan terdapat empat ciri-ciri yang digunakan bagi menilai keberkesanan sesuatu reka bentuk pembungkusan iaitu :
Ciri-ciri visual ialah kemampuan pembungkusan untuk menarik perhatian semasa proses pembelian (point of purchase). Objektifnya ialah supaya reka bentuk pembungkusan dapat menonjol di rak jualan dan tidak menenggelamkan imej jenama.
ii. Maklumat (Information)
Ciri-ciri maklumat menurut Shimp (2003) melibatkan pelbagai bentuk maklumat produk seperti kandungan, arahan cara penggunaan, manafaat produk, dan amaran yang dipersembahkan di mana-mana bahagian pada bungkusan. Maklumat pembungkusan berguna untuk :
a. Merangsang cubaan pembelian.
b. Mengalakkan tingkah laku pembelian semula.
c. Menyediakan arahan penggunaan produk dengan betul
iii. Tarikan Emosi (Emotional Appeal)
Kemampuan pembungkusan membangkitkan perasaan yang diinginkan atau menimbulkan mood seperti elegan, prestij, ceria dan gembira.
iv. Fungsi (Workability)
Merujuk kepada bagaimana sesuatu pembungkusan berfungsi. Antara isu-isu yang berkaitan dengan fungsi pembungkusan ialah :
a. Adakah pembungkusan melindungi kandungan produk ?
b. Adakah mudah disimpan sama ada oleh pihak peruncit atau pengguna ?
c. Adakah pembungkusan memudahkan pengguna menggunakan produk ?
d. Adakah pembungkusan melindungi peruncit terhadap kerosakan yang tidak disengajakan oleh pengguna dan kecurian ?
e. Adakah pembungkusan mesra alam sekitar ?
Shimp (2003) menyatakan tidak semua reka bentuk pembungkusan dapat memenuhi kriteria yang ditetapkan di dalam komponen Model VIEW. Ini kerana kepentingan relatif bagi setiap kategori produk dengan produk yang lain adalah berbeza. Ciri-ciri tarikan emosi agak menonjol pada produk tertentu seperti minyak wangi, manakala ciri-ciri maklumat penting bagi produk seperti makanan. Ciri-ciri visual dan fungsi pula adalah amat penting bagi semua jenis produk.
* Ini adalah sebahagian daripada penulisan sarjana saya setelah diedit, jika anda ingin menggunakannya sila minta kebenaran saya terlebih dahulu. Selebihnya kita serah pada Allah.
* Penulisan penuh telah saya tarik penerbitannya di ruangan ini atas sebab ada pihak yang memplagiatkan dan menggunakan untuk kepentingan peribadi.
* Penulisan seterusnya akan dimasukkan berdasarkan sub tajuk tertentu yang terkandung dalam penulisan ini.
0 comments:
Catat Ulasan